Siakap Keli

“Yang Menanggung Akibat Nanti Diri Sendiri”, Orang Ramai Diharap Tak Salah Guna Kebebasan Diberi & Tetap Patuh SOP- Ismail Sabri

Kerajaan hari ini telah mengumumkan beberapa kelonggaran di kawasan PKP, PKPB dan PKPP termasuk bagi upacara akad nikah dan perkahwinan, makan di dalam restoran dan jumlah penumpang kereta yang melebihi dua orang.

Pun begitu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan menjaga kesihatan walaupun banyak kelonggaran telah diberikan.

“Tuan-tuan dan puan-puan, syarat PKPB telah dilonggarkan seperti dulu, PKPP lebih longgar dari PKPB, kita juga membenarkan kereta lebih daripada dua penumpang, kedai makan tidak lagi terhad kepada dua orang.

“Walaupun ada kebebasan seperti ini tetapi saya berharap agar tuan-tuan dan puan-puan berhati-hati dan tidak menyalahgunakan kebebasan yang diberikan ini kerana yang akan menanggung akibat jika melanggar SOP  adalah diri kita sendiri serta keluarga kita,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar tidak membawa anak kecil keluar daripada rumah jika tidak mempunyai urusan yang penting.

“Betul kita benarkan membawa lebih daripada biasa untuk keluar daripada rumah tetapi perlu juga ingat bahawa jika tiada keperluan membawa anak kecil untuk bersama kita di tempat awam, jadi tidak perlu membawa mereka kerana ia akan mengundang bahaya.

“Begitu juga dengan ibu bapa kita yang dalam golongan  warga emas, mereka berisiko tinggi,” katanya.

Tambahnya lagi, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berada di rumah jika tiada keperluan penting dan terus mematuhi SOP bagi mengelakkan diri, keluarga serta masyarakat menanggung akibat daripada perbuatan tersebut

“Jika tiada keperluan untuk keluar dari rumah, lebih baik berada di dalam rumah kerana itu lebih selamat,” katanya.

Sumber: RTM

Sofea

There's always another side to every story