Apabila seorang isteri berdepan dengan kematian tonggak keluarga iaitu suami yang dicintai, dunia menjadi seakan kelam kerana sudah tiada lagi tempat untuk seorang isteri dan anak-anak bergantung harap.
Apatah lagi, jika si suami pergi dalam keadaan sekelip mata tanpa meninggalkan pesan atau membuat sebarang persediaan dan apa-apa perancangan terhadap harta yang ditinggalkan buat isteri dan anak-anak.
Perkongsian oleh seorang Peguam Syarie, Tuan Iezwan Ielias mengenai harta peninggalan dan hak yang tinggalkan oleh seorang suami kepada isterinya ini boleh dijadikan panduan kepada para waniat di luar sana.
HARTA PENINGGALAN VS HAK YANG DITINGGALKAN
Berbalik dengan kisah viral di bawah, apabila kita bercerita tentang perkara yang perlu dilakukan sejurus seseorang sole bread winner atau pencari nafkah tunggal meninggal dunia.
Suami meninggal isteri berhak fail tuntuan harta sepencarian
Si isteri berhak untuk memfailkan suatu tuntutan Harta Sepencarian terhadap semua harta yang ditinggalkan oleh si suami dan harta yang diusahakan bersama dalam tempoh perkahwinan.
Contoh rumah yang dibeli dalam tempoh perkahwinan, kereta, tanah yang dibeli dalam tempoh tersebut, perkakas dalam rumah kelamin, emas perhiasan, duit simpanan, ASB dan harta-harta lain yang diketahui dibeli atau diusahakan dalam tempoh perkahwinan.
Bagaimana kadar penentuan?
Tertakluk kepada sumbangan secara langsung dan tak langsung terhadap harta-harta tersebut. Basically, apabila bercerai atau meninggal dunia pasangan kita, isteri/suami berhak keatas harta-harta tersebut sebanyak 1/3 bahagian secara asasnya.
Boleh jadi lebih daripada amaun tersebut berdasarkan sumbangan langsung dan tak langsung. Bukti utama atas hak keatas harta-harta tersebut adalah perkahwinan.
Selesai bab berita gembira apabila melibatkan harta pusaka yang dapat mengikut kiraan faraid. Kita bercerita pula bab tanggungjawab.
Ada sebab kenapa isteri dapat pecahan faraid paling sedikit
Ada sebab kenapa si isteri dapat paling sedikit, kerana yang lelaki akan menampung bayaran nafkah anak kepada anak-anak saudaranya yang perempuan.
ISLAM telah menetapkan tanggungjawab memberi nafkah terhadap isteri dan anak adalah di bawah tanggungjawab suami dan bapa. Sekiranya berlaku penceraian antara suami dan isteri, tanggungjawab memberi nafkah terhadap anak tetap menjadi tanggungjawab kepada seorang bapa dan tidak akan putus dengan sebab penceraian.
Tanpa mengira keberadaan anak sama ada dalam jagaan bapa, ibu atau dalam jagaan orang ketiga, seorang bapa berkewajipan menanggung nafkah anak tersebut. Namun begitu, pada saat seorang bapa tidak berupaya menanggung nafkah anaknya, tanggungjawab tersebut akan diserahkan kepada orang yang ‘bertanggungan’ sebagaimana yang di sebut dalam Seksyen 73 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor.
Berdasarkan kepada peruntukkan tersebut, mahkamah boleh memerintahkan mana-mana ‘orang yang bertanggungan’ tentang hal itu mengikut hukum syarak supaya membayar nafkah kepada orang lain jika bapa tersebut tidak berupaya sepenuhnya atau sebahagiannya daripada mencari kehidupan kerana kerosakan otak atau jasmani atau tidak sihat dan dalam masa yang sama, pihak mahkamah berpuas hati setelah menilai dan mengambil kira kemampuan orang yang pertama tersebut itu adalah munasabah untuk pihak mahkamah mengeluarkan perintah sedemikian.
‘Orang yang bertanggungan’ yang dimaksudkan dalam peruntukkan tersebut ialah datuk mereka (bapa kepada bapa) dan kemudian orang-orang yang selepasnya. Arahan Amalan Mahkamah Syariah no14 Tahun 2007 bertajuk ‘Susunan Waris Yang Bertanggungan Membayar Nafkah’ menyatakan, maksud ‘orang yang bertanggungan’ ialah ‘ahli waris’ sebagaimana yang diperuntukkan syarak dan seperti juga yang dinyatakan dalam seksyen 61, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.