Siakap Keli

Keseluruhan Lebuhraya SUKE Siap 87% Dan Mengikut Jadual

Kuala Lumpur, 17 Februari 2021 – Projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) telah mencatatkan kemajuan keseluruhan pembinaan sebanyak 87% pada akhir tahun 2020, ini disokong dengan pakej CB3 yang menghubungkan Jalan Taman Putra dengan Jalan Merbau berhampiran Pekan Ampang siap 100%. Pakej CB3 ini merupakan pakej pertama di dalam lapan pakej pembinaan yang siap sepenuhnya bagi projek Lebuhraya SUKE. 

Menurut Timbalan Pengurus Besar SUKE, Ir. Dr. Zarulazam Eusofe, pakej CB3 sepanjang 2.7km melibatkan laluan kawasan Ampang Waterfront, Bandar Baru Ampang dan berakhir di Jalan Merbau, berhampiran LRT Ampang. Kerja-kerja pembinaan ini telah mengambil masa selama empat tahun dan berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan. 

“Apabila Lebuhraya SUKE ini dibuka kepada pengguna kelak, jajaran pakej ini akan membantu melancarkan aliran trafik dari kawasan sekitar Bukit Indah, Kampung Dato’ Mufti, Taman Kosas dan Bandar Baru Ampang. Pengguna yang menghala ke Pusat Bandar Kuala Lumpur cuma perlu menggunakan Persimpangan Kosas atau Persimpangan Ampang seterusnya melalui Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH). Dengan jarak anggaran sekitar 12 kilometer ini dari persimpangan persimpangan tersebut, pemanduan hanya akan mengambil masa sekitar lapan minit dan tanpa perlu menempuh kesesakan trafik di Jalan Ampang,” ujar Ir. Dr. Zarulazam. 

“Selain itu, dengan pembangunan projek Lebuhraya SUKE ini, ianya bakal memberi manfaat besar terutama kepada penduduk sekitar Ampang di mana pihak kami juga telah menaik taraf Jalan Ampang sediada yang terletak di bawah struktur Lebuhraya SUKE.

Siknifikannya apabila Jalan Ampang yang sebelum ini hanya mempunyai dua lorong kini telah dilebarkan kepada tiga lorong setiap hala. Dengan penambah baikan ini, pengguna di Jalan Ampang akan mendapat jalan yang lebih selesa dan lancar serta percuma,” tambah Ir Dr. Zarulazam. 

Pembinaan Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4km telah bermula pada 29 Ogos 2016. Apabila siap sepenuhnya kelak, ianya dijangka akan mengurangkan kesesakan lalu lintas sekurang-kurangnya sebanyak 30% di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan di kawasan berkepadatan tinggi seperti Cheras, Pandan Indah dan Ampang. 

Bermula di Sri Petaling dan berakhir di Ulu Kelang di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Lebuhraya SUKE akan mempunyai sambungan terus highway to highway, dengan menghubungkan secara terus beberapa lebuh raya utama dalam bandar seperti DUKE, AKLEH, Lebuhraya KL-Seremban, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya BESRAYA dan Lebuhraya KESAS. 

Untuk rekod, Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd. anak syarikat penuh Kumpulan Syarikat PROLINTAS merupakan pemegang konsesi bagi projek pembinaan Lebuhraya SUKE.

Nur Farra

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.