KUCHING, 19 Feb (Bernama) — Kira-kira sebulan selepas gelombang pertama banjir di Sarawak, beberapa tempat di bandar raya ini sekali lagi dilanda musibah banjir hari ini berikutan hujan berterusan sejak malam tadi.
Lalu lintas terhenti menyebabkan berpuluh kenderaan terkandas selepas beberapa jalan utama ditenggelami air berikutan air yang meningkat seawal subuh, memutuskan jalan darat utama ke daerah kejiranan seperti Kota Samarahan dan Serian.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak melaporkan setakat 8.30 pagi tadi, paras air meningkat di 10 kawasan perumahan meliputi empat daerah di bahagian selatan negeri ini.
Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Khirudin Drahman berkata jalan raya di daerah Lundu juga runtuh tetapi tiada maklumat lanjut mengenai kejadian itu.
Tinjauan Bernama di Kampung Sinar Budi di sini juga mendapati paras air meningkat kira-kira satu meter dan beberapa penduduk telah dipindahkan ke balai raya di kampung itu yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lundu Putra Ila berkata kenaikan paras air di Sungai Batang Kayan dan peningkatan kapasiti air yang mengalir dari Gunung Gading telah menyebabkan banjir kilat di bazar Lundu, kira-kira 84km dari bandar raya di sini, serta kawasan sekitarnya.
Beliau memberitahu Bernama, daerah itu mengalami hujan berterusan sejak semalam menyebabkan banjir dan menjejaskan laluan jambatan yang menghubungkan bazar itu ke Sematan, bahagian penempatan paling selatan di Sarawak yang dinaiki air serta turut menjejaskan kawasan balai polis daerah, sebuah stesen minyak dan beberapa kawasan komersial.
“Paras air di Sungai Batang Kayan menunjukkan penurunan berikutan keadaan cuaca yang semakin baik sekarang,” katanya ketika dihubungi 12 tengah hari tadi.
Setakat ini sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung bencana terbaru ini.
— BERNAMA