Siakap Keli

Sesat Tengah Padang Pasir & Kereta Rosak, 8 Beranak Dipercayai Pelarian Ditemui Mati Akibat Kebuluran

Sebuah keluarga dari Sudan didakwa meninggal dunia dalam keadaan tragis apabila mereka telah tersesat jauh dalam satu perjalanan di padang pasir.

Media tempatan Sudan melaporkan, mayat kesemua lapan ahli keluarga berkenaan ditemui pihak polis di satu kawasan kosong yang sunyi, kira-kira 400 kilometer dari bandar Kufra, Libya.

Difahamkan, pada awalnya satu laporan berkenaan kes penemuan mayat di kawasan itu diterima di Balai Polis Kufra pada 10 Feb lalu.

Bertindak atas maklumat, ketua balai Kufra menjalankan siasatan dan berkejar ke lokasi kejadian dalam kadar segera.

Amat mengejutkan, apa yang ditemui mereka di sana adalah sebuah kereta disyaki Toyota Sequoia yang di dalam dan sekitarnya turut bergelimpangan tubuh mayat, pakaian dan beg mangsa.

Ekoran itu, tiga mayat perempuan dan lima mayat lelaki yang ditemui telah dihantar ke Kufra untuk tindakan lanjut.

Gambar: agensi

Hasil siasatan mendapati, kereta tersebut pada awalnya membawa kira-kira 21 penumpang termasuk lelaki dewasa, wanita dan kanak-kanak telah dipandu dari Bandar El-Fasher, Sudan menuju ke Kufra sebelum itu.

Bagaimanapun perjalanan jauh mereka merentas padang pasir melewati sempadan dua negara itu menemui kegagalan kerana disyaki tersesat, lantas dipercayai mengakibatkan kemalangan berlaku.

Ketika siasatan pihak berkuasa di lokasi kejadian, hanya lapan mayat sahaja yang ditemui dan selebihnya tidak dapat dikesan.

Dalam masa sama, dua kad pengenalan mangsa beserta sekeping surat tulisan tangan turut ditemui pihak polis dalam siasatan tersebut.

Apa yang menyedihkan, nota ringkas dalam surat itu tertulis, “Kepada sesiapa yang menjumpai surat ini, ini adalah nombor saudara saya, Muhammad Saifuddin. .

“Maafkan saya ibu, kerana tidak dapat menghubungi anda. Ayah dan Nasir, saya sayangkan anda. Doakan kami dengan rahmat, berikan kami Al-Quran dan berikan jalan kematian kami di sini,”

Gambar: agensi

Bagaimanapun menurut laporan media lagi, tiada sebarang laporan diterima di pihak mahkamah tentang maklumat tuntutan ahli keluarga yang hilang itu.

Siasatan pihak berkuasa juga masih dijalankan bagi mengenal pasti maklumat-maklumat kes dengan lebih terperinci.

Di sudut lain, kejadian tragis tersebut telah mencerminkan situasi konflik sebenar yang sedang melanda wilayah selatan Libya dengan tindakan pihak berkuasa serta pengawal sempadan negara berkenaan yang dipercayai tidak aktif sepenuhnya.

Merujuk sumber lagi, kejadian serupa kes tersebut didakwa turut pernah berlaku hingga menyebabkan ratusan nyawa hilang di sana, sama ada melalui percubaan menyeludup merentas sempadan negara mahupun berhijrah melalui perjalanan darat mahupun padang pasir.

Sumber: World In News / Libya Review / IB Times

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.