Siakap Keli

TERKINI: Detik Bersejarah, 312,390 Dos Vaksin Covid-19 Kumpulan Pertama Tiba Di Malaysia

Hari ini, sejarah tercipta apabila vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech yang menjadi sinar harapan dalam perjuangan melawan pandemik akhirnya tiba di Malaysia sebentar tadi.

Menerusi Siaran Langsung Khas Ketibaan Kumpulan Vaksin Pertama ke Malaysia, pesawat penumpang Airbus A330-300 milik Malaysia Airlines yang dihiasi livery Jalur Gemilang yang membawa kumpulan pertama vaksin itu selamat mendarat di Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA kira-kira jam 10 pagi tadi.

Proses pengedaran dan penghantaran vaksin Covid-19 dari kilang Pfizer-BioNTech di Belgium ke negara-negara di seluruh dunia dikendalikan sendiri oleh Syarikat Pfizer dan juga DHL menerusi satu perjanjian di peringkat global.

Vaksin Covid-19 berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk proses pengedaran bekalan ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.

Kesemua 312,390 dos vaksin ini hadir dalam peti sejuk beku yang dipenuhi ais kering untuk penyimpanan di suhu takat beku ultra sejuk iaitu negatif 75 untuk memestikan kualitinya terjamin.

Fasa pertama bekalan vaksin Covid-19 melibatkan 1 juta dos vaksin di mana akan tiba secara berperingkat di negara ini setiap minggu.

Antara kenamaan yang dilihat hadir menyambut vaksin di KLIA ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sumber: KKM

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.