Siakap Keli
Gambar: Bernama

Vaksin Covid: Johor Terima Bekalan Hari Ini

JOHOR BAHRU, 21 Feb (Bernama) — Johor menerima sebahagian daripada bekalan vaksin COVID-19 yang tiba di negara ini hari ini, untuk ditempatkan di empat pusat simpanan vaksin (PSV) di negeri ini.

Bekalan berkenaan yang merupakan sebahagian daripada kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech, tiba di Johor Bahru dari Singapura, melalui jalan darat iaitu Tambak Johor.

Menyambut ketibaan bekalan di atas tambak berkenaan ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

Tinjauan BERNAMA mendapati lori syarikat logistik DHL dilihat berada di atas Tambak Johor kira-kira 1 petang, sebelum ia bergerak ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (BSI) kira-kira pukul 2 petang.

Lori berkenaan dilihat turut dikawal rapi oleh pihak berkuasa Singapura dan Malaysia dari awal Tambak Johor sehingga ke bangunan BSI.

Ia tiba di PSV milik DHL di sini, kira-kira 2.45 petang dan dijangka akan dihantar ke empat PSV Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mulai esok.

Dr Adham menerusi Facebook rasminya sebentar tadi menyatakan  bagi negeri Johor, sejumlah 73,710 dos akan dihantar ke empat PSV berkenaan.

“Daripada PSV, vaksin ini kemudiannya akan diedarkan ke seluruh 54 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ada di seluruh negeri Johor. Petugas barisan hadapan di negeri Johor adalah golongan pertama yang akan menerima vaksin ini secara berperingkat-peringkat mulai minggu ini,” tambahnya lagi.

Pada 18 Feb lepas Hasni dilaporkan sebagai berkata, kerajaan negeri dalam proses akhir memuktamadkan jumlah penerima vaksin di negeri ini termasuk petugas barisan hadapan bagi fasa pertama, yang akan dibuat pada hujung bulan ini atau bulan hadapan.

Setakat ini, seramai 18,000 petugas Kementerian Kesihatan di Johor sudah dikenal pasti akan menerima suntikan vaksin.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.