Seorang lelaki di Chennai dilaporkan terkejut setelah mendapati sebuah bangunan enam tingkat dibina di atas tapak rumahnya, lapor India Times.
Menurut portal itu, Nagalingamoorthy telah berpindah ke Bengaluru bersama keluarganya atas komitmen kerja selama enam tahun sebelum kembali ke Chennai.
Dia yang dikatakan telah membeli tanah tersebut pada 1988 telah membina sebuah rumah di atasnya. Bagaimanapun, sebaik sahaja pulang ke situ, dia mendapati rumah tersebut telah ‘digantikan’ dengan bangunan setinggi enam tingkat, menurut India Times.
Susulan itu, dia telah melaporkan perkara itu kepada pihak polis, menjurus kepada penahanan seorang lelaki berusia 42 tahun yang bekerja di syarikat pembinaan, memetik laporan The New Indian Express.
Pun begitu, lelaki itu mendakwa telah berurusan dengan seorang individu yang mengaku sebagai pemilik tanah berkenaan. Dia juga dikatakan telah mengemukakan dokumen pemilikan palsu bagi memindahkan hak milih tanah ke atas namanya.
Sumber: India Times