Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Treler Besi Buruk Jatuh Gaung, Pemandu Maut

KUANTAN, 23 Feb (Bernama) — Seorang pemandu treler muatan besi buruk maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terjatuh gaung di km 218 Lebuhraya Pantai Timur, dekat sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata Mohd Syafiq Atan, 30, yang mengalami kecederaan di kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya Mohd Izwan,24, kelindan treler berkenaan, patah kaki dalam kemalangan pada kira-kira 6.10 pagi tadi.

Beliau berkata kejadian berlaku semasa dua beradik berasal dari Langgar, Kedah itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Treler itu dipercayai terbabas ke pembahagi jalan sebelum terjatuh ke dalam gaung di sebelah kiri laluan pada kedalaman 130 meter dari paras jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Pahang memaklumkan 10 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas bersama sebuah jentera digerakan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.16 pagi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, menurutnya sejurus tiba anggota bomba melakukan operasi mengeluarkan mayat tersepit dengan menggunakan ‘rescue tool’ sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala kelindan cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Sumber: BERNAMA