Siakap Keli
Gambar: Bernama

Beberapa Negeri Semenanjung Mula Terima Bekalan Vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) — Beberapa negeri di Semenanjung Malaysia mula menerima bekalan vaksin COVID-19, vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech hari ini, menandakan bermulanya Fasa Pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Program vaksinasi terbesar negara diberikan secara percuma itu bagi memastikan penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing, dilindungi daripada COVID-19 yang telah menjangkiti lebih 290,000 orang dan meragut lebih 1,000 nyawa sejak pandemik berkenaan menular di Malaysia, Januari tahun lepas.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang bakal menjadi antara individu terawal di negara ini menerima vaksin berkenaan – suntikan pertama daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech – di Klinik Kesihatan Putrajaya, Presint 11 pada kira-kira pukul 3.00 petang ini.

Di NEGERI SEMBILAN, vaksin Comirnaty  tiba di PSV Klinik Kesihatan Seremban 2 di sini, pada pukul 11.23 pagi tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi Bernama berkata bagi memastikan keselamatan dan kelancaran ketibaan vaksin di negeri ini, 15 anggota ditugaskan untuk mengiringi kenderaan yang membawa vaksin ke lokasi PSV.

Sehingga kini 37 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dikenal pasti di seluruh Negeri Sembilan.

Di KEDAH, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata 50,310 dos vaksin diperuntukkan bagi fasa pertama PICK di negeri itu, yang akan diterima secara berperingkat bermula hari ini.

Beliau berkata bagi fasa pertama 25,155 senarai penerima vaksin terdiri daripada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) dan swasta, petugas barisan hadapan termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Imigresen, kakitangan penjara dan bomba.

Katanya vaksin akan ditempatkan di tiga Pusat Simpanan Vaksin (PSV) masing-masing di daerah Kota Setar, Kuala Muda serta Langkawi, dan sehingga kini 57 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah disenaraikan di Kedah, 46 daripadanya adalah di fasiliti kesihatan KKM.

Sementara di MELAKA, 8,190 dos vaksin telah tiba pada pukul 11.55 pagi, yang merupakan kumpulan awal daripada 11,000 dos yang akan diterima dalam tempoh dua hari.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka Datuk Rahmad Mariman berkata baki dos vaksin akan diterima pada Jumaat ini dan vaksin itu disimpan di Hospital Melaka sebelum diagihkan ke 24 PPV merangkumi tiga hospital dan 21 klinik kesihatan di Melaka.

Suntikan vaksin di Melaka dijangka bermula 2 Mac depan membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan petugas barisan hadapan.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.