Siakap Keli

Hari-hari Ucap Terima Kasih Sebelum Makan, Suami Bahagia Isteri Selalu Sediakan Bekal Tempat Kerja

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Bahtera rumah tangga yang dibina bertahun-tahun pastinya menjadi kenangan paling indah buat mana-mana pasangan suami isteri.

Segalanya dibina dengan rasa cinta, kasih sayang, keikhlasan dan kepercayaan daripada hati sanubari masing-masing.

Tidak mustahil, jika bahagia jalan yang dilalui oleh pasangan itu, maka akan bahagia jugalah kehidupan yang turut dirasai oleh anak-anaknya nanti.

Baru-baru ini, seorang warga Twitter, Elia berkongsi perbualan romantis ibu dan ayahnya dalam aplikasi WhatsApp setiap hari.

Walaupun ringkas, tapi ‘bahasa’ yang digunakan ibu dan ayahnya betul-betul membuatkan sesiapa yang membacanya menjadi ‘cair’.

Difahamkan, ibunya pasti akan membekalkan bekalan makanan buat ayahnya setiap pagi untuk ke tempat kerja.

Menariknya, setiap kali sebelum makan, ayahnya mesti akan menghantar gambar dan mengucapkan terima kasih.

Gambar: Elia
Gambar: Elia

Tidak kurang juga, ibunya pun tidak lupa tentang salah satu makanan penting dalam juadah iaitu kicap Jalen.

Jika lihat gambar di bawah, walaupun sekadar kicap tapi ianya diletakkan dalam bekas kecil bertutup. Bukan main cermat lagi penyediannya.

Gambar: Elia

Namun pada satu hari, sebekas kecil kicap Jalen tidak disertakan sekali.

Ayahnya seperti biasa masih mengucapkan terima kasih, kemudian disusuli dengan ayat seakan bernada merajuk, “Takde kicap Jalen..” beserta ’emoji’ sedih.

Gambar: Elia

Lantaran tiada kicap Jalen, ramai warganet berasa terhibur dengan sikap ‘merajuk’ si ayah.

Situasi tiada kicap Jalen ini mengingatkan mereka dengan iklan kicap tersebut yang cukup terkenal dihebahkan di corong radio selama ini.

29 tahun menyulam cinta

Jelas Elia, perbualan romantis ayah dan ibunya ini adalah rutin seharian yang normal mereka lakukan setiap hari.

Alhamdulillah, perasaan kasih yang masih utuh dibina ini kekal berpanjangan sejak 29 tahun dahulu lagi.

Mama & papa bahagia, warganet pun gembira sama

Mengakui hati tersentuh melihat perbualan mesra ibu dan ayahnya, ramai warganet turut menzahirkan rasa bahagia mereka masing-masing.

Malah ada yang berpesan, rasa kasih seperti ini tidak perlu tunggu ketika sudah berkahwin kerana ia boleh sahaja disemai semasa bujang lagi.

Ada juga yang sudah memasang angan-angan untuk mempunyai pasangan hidup romantis seperti ibu dan ayah Elia ini.

“Orang tua punya hubungan lagi romantik….”

Semoga mama dan papa Elia kekal bahagia bercinta hingga ke akhir usia dan kembali bersama ketika di syurga nanti. Ameen.

Sumber: Twitter Elia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'