Siakap Keli
Kredit: Google

Jual Produk Ganti Vaksin Antara Objektif Kumpulan Anti Vaksin

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) — Menjual produk yang kononnya mampu menjadi alternatif kepada vaksin adalah antara objektif kumpulan anti vaksin di Malaysia untuk terus menentang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Pegawai Perubatan Columbia Asia Hospital, Dr S.Malar Santhi berkata apabila kumpulan anti vaksin berjaya membuatkan orang ramai keliru mengenai vaksin, maka mereka boleh menjual produk-produk yang didakwa menggantikan vaksin COVID-19 seperti Vitamin C, Magnesium atau pelbagai jenis minyak.

“Selain itu, kumpulan anti vaksin di negara ini juga seakan-akan mendapat satu kepuasan apabila mereka berjaya mempengaruhi individu lain supaya menolak vaksin.

“Itu antara manfaat yang mereka perolehi berdasarkan pemerhatian saya,” katanya menerusi program Malaysia Petang Ini bertajuk ‘Vaksinasi negara akan berjaya’ terbitan Bernama TV di sini, hari ini.

Dr Malar Santhi yang merupakan antara pakar pegawai perubatan aktif di media sosial, turut menjelaskan kebanyakan individu yang menolak vaksin tidak mempunyai hujah atau maklumat yang munasabah dan berasas, malah bertentangan dengan ilmu sains.

Beliau yang percaya program vaksinasi negara akan berjaya, menyeru semua rakyat Malaysia agar berlapang dada mendapatkan vaksin COVID-19 kerana petugas barisan hadapan dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri akan mendapat suntikan vaksin COVID-19 terlebih dahulu dan ia akan membina keyakinan rakyat di negara ini.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula esok, dengan Fasa 1 dari Feb hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Feb 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.