Siakap Keli
Kredit: Tribun News

“Mulanya Ingin Ada Anak Lelaki, Tapi..,” Pasangan Ini Ada 16 Orang Anak Sejak Berkahwin Pada Umur 11 Dan 12 Tahun

Dipercayai berkahwin seawal usia 11 dan 12 tahun, satu pasangan di Jawa Timur, Indonesia kini dilaporkan telah mempunyai 16 orang anak.

Menurut Tribun News, pasangan Mulyono (46) dan Partina (45) ini pada awalnya menginginkan anak lelaki, namun mendapat anak perempuan.

“Awalnya ingin memiliki anak lelaki, tapi yang lahir perempuan. Akhirnya berterusan sampai 16 anak,” kata Mulyono yang kini mempunyai anak sulung berusia 33 tahun.

Jelas lelaki itu, jarak antara anak-anak mereka adalah sekitar satu hingga empat tahun.

“Bezanya lebih kurang satu tahun, dua tahun, paling lama empat tahun,” ujarnya.

Tambah portal tersebut, Partina pernah memakai implan ketika menyertai program perancangan keluarga, namun, implan itu kemudiannya dicabut atas sebab kesihatan.

Selain itu, biarpun mereka dikatakan mengalami kesukaran kewangan dan terpaksa berpindah randah, pasangan ini tetap teguh untuk bersama anak-anak ketika susah dan senang.

“Dulu ada yang ingin diambil orang, tetapi saya tidak mahu. Kasihan. Ada yang nak beri rumah, wang, tapi saya tidak mahu.

“Biar bersama, makan tak makan yang penting bersama. Alhamdulillah tidak ada yang ikut orang,” kata Partina yang melahirkan kesemua 16 anaknya secara normal.

Dari kesemua 16 orang anak, dua daripadanya telah meninggal dunia iaitu anak ketiga dan anak bongsu mereka, tulis Tribun News.

Sumber: Tribun News

Amira

Love yourself.