Siakap Keli
lelaki maut dalam kereta
Gambar sekadar hiasan

Pekerja Syarikat Perlombongan Pasir Ditemukan Lemas

SHAH ALAM, 24 Feb (Bernama) — Seorang pekerja syarikat perlombongan pasir ditemukan lemas kira-kira 11.35 pagi tadi, selepas bot yang dinaikinya terbalik dalam kejadian di sebuah lombong sedalam 14 meter di Kampung Labuan Dagang, Kuala Langat, dekat sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, mangsa Muhamad Janil Tani yang ditemukan pada kedalaman lima meter itu, dalam perjalanan ke tempat kerja dengan menaiki bot ke kapal korek pasir di tengah lombong itu.

Hafisham berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit kira-kira 8.13 pagi dengan lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBPM) Banting dan BBPM Shah Alam.

“Semasa kejadian, mangsa dan empat lagi pekerja yang kesemuanya lelaki warga tempatan berumur 24 ke 37 tahun itu, dalam perjalanan menaiki bot ke tempat kerja di kapal berkenaan, terletak kira-kira 20 meter daripada tebing. Namun di pertengahan jalan, bot yang dinaiki mereka terbalik menyebabkan semua mangsa terjatuh ke dalam lombong.

“Empat lagi mangsa, Mohd Roslan Ariffin; M. Firdaus Azhar Samsudin; pasangan beradik Muhamat Junaidi Negeri dan Mohd Ribut Negeri, berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing lombong yang terletak kira-kira tujuh meter daripada lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Azizan Tukiman mengesahkan kejadian tersebut berlaku sekitar 7.45 pagi dan memaklumkan, mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk dibedah siasat.

“Dua rakan mangsa dirawat di Hospital Banting manakala selebihnya tidak mengalami kecederaan. Dipercayai bot yang dinaiki mereka lebih muatan sehingga ia dinaiki air dari bahagian hadapan dan terus karam.” katanya ketika dihubungi.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.