Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Penganggur Ditahan, Polis Rampas Dadah Bernilai RM22,150

DUNGUN, 24 Feb (Bernama) — Polis menahan seorang penganggur berumur 47 tahun yang disyaki pengedar dadah dan merampas heroin serta syabu bernilai kira-kira RM22,150 dalam satu serbuan di sebuah ladang kelapa sawit sekitar Felda Kerteh 3, di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata serbuan pada pukul 12.30 tengah hari itu dilancarkan hasil risikan lebih enam bulan serta maklumat awam, dan polis menemukan 33 botol berisi dadah dipercayai jenis heroin yang dianggarkan seberat 165.7 gram serta dua paket dadah jenis syabu seberat 10 gram dalam serbuan.

“Bekalan dadah itu dipercayai baru diperoleh dan belum sempat dijual di pasaran tempatan. Jumlah rampasan dijangka boleh menampung permintaan lebih 8,000 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, di sini, hari ini.

Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis heroin dan suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah kini ditahan reman selama enam hari.

Menurutnya kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.