Siakap Keli
Gambar: Bernama

PKPD Di Hostel Centennial Di Sitiawan, Perak Bermula Esok – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) — Kerajaan memutuskan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hostel Centennial, Kampung Acheh, Sitiawan, Perak bermula esok sehingga 10 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD itu berikutan pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysian (KKM) bahawa berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

“KKM hari ini telah melaporkan situasi kes COVID-19 di lokaliti itu, yang sehingga 21 Feb, KKM telah melaksanakan sebanyak 349 ujian saringan dan daripada jumlah itu seramai 125 orang didapati positif COVID-19.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di lokaliti itu,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan PKPD itu adalah untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni asrama serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata seramai 253 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan PKP dan daripada jumlah itu seramai 231 dikompaun manakala bakinya direman.

Beliau berkata kesalahan yang direkodkan adalah gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri (75 kes), tidak memakai pelitup muka (61), aktiviti perjudian (52), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (37), tiada penjarakan fizikal (21), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (6) dan seorang tiada dokumen pengenalan diri.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata enam pendatang asing diberkas dan tujuh kenderaan darat dirampas.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 87 buah bot atau kapal di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan dan pada masa sama, seramai enam orang pendatang asing turut diusir melalui dua aktiviti pengusiran,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 502 sekatan jalan raya juga dilaksanakan semalam yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Sukarelawan Malaysia(RELA).

Ismail Sabri berkata semalam juga menyaksikan 625 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan kesemua mereka telah dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara, yang membawa kepada kumulatif seramai 130,115 individu telah pulang sejak 24 Julai 2020.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,901 individu telah dikuarantin dan seramai 121,525 individu dibenarkan pulang manakala 689 lagi dibawa ke hospital,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.