Siakap Keli

Sering Penat Dan Sukar Tidur Malam? Mungkin Tanda Ketara Penyakit Anemia

Sukar untuk tidur pada waktu malam mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi seseorang. Namun, tahukah anda bahawa kesukaran tidur pada waktu malam merupakan tanda ketara penyakit Anemia. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti penjelasan dari Hello Doktor.

Adakah anda mempunyai masalah tidur? Jika anda mengalami simptom seperti kerap rasa penat setiap hari dan muka sering kelihatan pucat, anda mungkin menghidap penyakit anemia.

Untuk pengetahuan anda, pesakit anemia juga tidak boleh melakukan senaman ringan dalam satu jangka masa yang lama. Tapi, tahukah anda bahawa pesakit anemia juga mempunyai masalah untuk tidur?

Pesakit anemia dan tidur

Ramai yang tahu penyakit anemia membuatkan seseorang itu rasa penat yang amat sangat, tidak bertenaga dan sukar untuk fokus ketika melakukan aktiviti seharian.

Pesakit yang menghidap anemia tidak mempunyai sel darah merah ataupun zat besi yang cukup dalam darah. Oleh itu, badan akan menghadapi masalah untuk membawa oksigen ke seluruh badan.

Antara simptom anemia termasuklah kerap pening kepala, rasa lemah dan mempunyai kulit, gusi dan kelopak mata yang pucat.

Ramai yang sangka disebabkan penghidap anemia kerap rasa penat, mereka mudah untuk tertidur. Tetapi, kenyataan ini sebenarnya salah!

Malangnya, kepenatan kadang-kadang boleh buatkan penghidapnya makin sukar untuk tidur. Rasa penat yang amat sangat ini boleh buatkan pesakit jadi resah, sekali gus mengganggu tidur mereka.

Menurut sebuah journal di dalam African Health Sciences, pesakit yang mengalami anemia kerana kekurangan zat besi sukar untuk tidur malam.

Ini disebabkan mereka mengalami simptom psikologikal seperti depresi dan juga kegelisahan.

Tambah lagi, menurut kajian yang dijalankan oleh Graziano Onder, individu yang lebih berusia lebih berisiko untuk menghidap depresi akibat penyakit anemia.

Ini kerana mereka mempunyai risiko untuk menghidap pelbagai penyakit kronik (comorbid) yang turut menyumbang kepada gangguan semasa tidur.

Pesakit anemia alami masalah tidur

masalah tidur

Pesakit yang menghidap iron deficiency anaemia akan mengalami satu sindrom yang dinamakan restless leg syndrome.

Sindrom ini menyebabkan pesakitnya mempunyai keinginan untuk menggoyangkan kaki ataupun bahagian badan yang lain.

Kadangkala, simptom ini turut diikuti dengan rasa gatal dan juga rasa seakan-akan kebas yang boleh mengganggu tidur.

Keadaan ini akan membuatkan pesakit anemia mengalami masalah untuk tidur dengan lena. Ini juga akan akibatkan mereka mengalami insomnia.

Sebagai akibatnya, pesakit anemia akan rasa tidak cukup rehat sepanjang hari. Mereka juga mungkin akan alami masalah untuk fokus dan mempunyai mood yang tidak stabil sepanjang hari.

Pesakit anemia perlu elakkan minum kopi lebih-lebih lagi pada waktu sebelum tidur. Selain itu, pesakit juga boleh lakukan senaman ringkas seperti regangan, berjalan dan juga berjoging.

Jika perubahan gaya hidup tidak dapat membantu pesakit untuk tidur dengan lebih lena, doktor mungkin akan menyarankan ambil beberapa jenis ubat ataupun suplemen tambahan.

Ini bagi membantu tingkatkan tahap zat besi dalam tubuh pesakit.

Kenal pasti jenis anemia yang anda alami

Jika anda mengalami penyakit anemia, penting untuk anda tahu jenis anemia yang dihadapi; disebabkan oleh kekurangan vitamin B12 ataupun kekurangan zat besi?

Disebabkan anemia boleh sebabkan pesakitnya sukar untuk lelapkan mata, penting untuk pesakit kenal pasti jenis anemia yang mereka alami.

Ini bagi membolehkan rawatan yang sewajarnya diberikan untuk membantu masalah tidur yang dialami pesakit.

Sebagai contoh, pesakit yang kurang vitamin B12 memerlukan suntikan vitamin yang hanya boleh didapati melalui preskripsi.

Doktor juga mungkin akan menyarankan pesakit menambah makanan yang tinggi kandungan vitamin B12 dalam diet seharian. Contohnya, pesakit boleh makan lebih ikan, daging, telur, susu dan produk tenusu yang lain.

Pesakit yang mengalami kekurangan zat besi pula boleh mengambil suplemen untuk bantu kurangkan anemia yang dialami.

Pesakit juga boleh makan makanan yang kaya dengan zat besi seperti daging, ikan, sayur bayam dan juga brokoli.

Bagaimana pesakit anemia boleh kurangkan gangguan ketika tidur?

masalah tidur

Mudah untuk mendapatkan nasihat untuk tidur dengan lebih lena. Namun, bukan mudah untuk mengikut nasihat tersebut.

Selain kafein, satu lagi solusi yang boleh pesakit anemia lakukan adalah tahu bila untuk akhiri hari anda.

Individu yang tidak cukup tidur boleh sebabkan mereka bermasalah untuk melakukan kerja harian dengan baik.

Tambah lagi, pekerja yang tidak cukup tidur lebih banyak melakukan kesalahan dan lebih culas dalam melakukan kerja.

Penting untuk anda tahu bila untuk akhiri hari anda. Jika anda rasa mengantuk sewaktu bekerja, anda boleh tidur selama 20 minit untuk lebih efektif.

Jangan lakukan kerja lebih masa. Jika anda mempunyai pola tidur yang lebih seragam, anda akan lebih mudah tidur pada waktu malam.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor