Siakap Keli
Kredit: Bernama

Tiada Apa Perlu Ditakutkan Dengan Suntikan Vaksin COVID-19, Kata Penerima Awal

PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) — Tiada apa yang perlu ditakutkan dengan suntikan vaksin COVID-19 kerana suntikan itu macam suntikan biasa untuk kesejahteraan diri, kata seorang petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang menjadi antara individu awal menerima vaksin tersebut hari ini.

Clement Marai Francis yang menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Presint 11 di sini, juga berkata orang ramai perlu mengambil suntikan vaksin itu bagi membantu kerajaan mengekang penularan COVID-19.

“Memang tidak rasa apa-apa ketika disuntik dan orang ramai jangan takut… saya ambil vaksin ini untuk pastikan keluarga selamat,” katanya yang sudah lapan tahun berkhidmat dengan KKM kepada pemberita selepas menerima suntikan itu.

Clement, 36, yang bertugas sebagai pemandu di Pejabat Kesihatan Putrajaya, berkata beliau bertuah kerana mendapat suntikan vaksin memandangkan tugasnya membawa pesakit COVID-19 amat berisiko.

“Kalau sudah ada vaksin, sudah tidak rasa takut-takut untuk berinteraksi dengan keluarga apabila balik kerja,” katanya yang juga akan berusaha memastikan ahli keluarga serta rakan-rakannya mengambil vaksin COVID-19 bagi melindungi diri daripada pandemik itu.

Selain Muhyiddin yang menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Clement, turut menerima suntikan pada hari ini ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan tiga lagi petugas KKM.

Tiga petugas KKM itu ialah Dr Tan Yee Ling, Khairul Asraf Mohd Yasin dan Sheilla Mellissa Sikin.

Dr Noor Hisham yang merupakan personaliti utama dalam peperangan untuk melandaikan pandemik COVID-19 di negara ini, berkata beliau tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas menerima suntikan tersebut.

“Ini (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) merupakan titik permulaan penamatan jangkitan COVID-19 di negara ini… saya tidak rasa apa-apa selepas menerima suntikan vaksin ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM akan melakukan pemantauan terhadap semua yang menerima suntikan melalui aplikasi MySejahtera.

“Kalau ada komplikasi ia akan terus dilaporkan (kepada KKM),” katanya yang turut menasihati mereka yang menerima suntikan agar mendapatkan rehat secukupnya.

Sementara itu, Khairul Asraf yang merupakan Penolong Pegawai Perubatan di Pejabat Kesihatan Putrajaya, menzahirkan rasa syukur kerana terpilih sebagai antara yang terawal menerima vaksin COVID-19 dan berharap semua petugas barisan hadapan dapat mengambil vaksin tersebut.

“Kita telah ikhtiar dan kita perlu bertawakal kepada Allah SWT,” katanya yang terbabit secara langsung dalam pengurusan pencegahan COVID-19 sejak Mac tahun lepas.

Sementara itu, Ketua Jururawat Kesihatan di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Presint 11 Lina Ibrahim, 49, yang melaksanakan suntikan terhadap perdana menteri, berkata beliau bersyukur kerana dapat melaksanakan amanah yang diberi.

“Gementar juga sebab kena buat suntikan kepada perdana menteri. Alhamdulilah semuanya telah selesai ,” kata anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bertemakan “Lindung Diri, Lindung Semua” dilaksanakan dalam tiga fasa bermula hari ini dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara – dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.