Siakap Keli
Gambar: BBC

Ikut Jejak New Zealand, Polis Leicester Di England Jadikan Hijab Sebagai Uniform Anggota Muslimah

Jejak langkah pemakaian hijab bagi polis wanita Muslim di New Zealand sebelum ini kini mula diikuti di Leicester, England buat kali pertama setelah menjalani penilaian selama 16 bulan.

Memetik laporan BBC, anggota polis Leicestershire pertama yang memakai hijab berkenaan ialah seorang pegawai pelajar iaitu Khadeejah Mansur (gambar) dan dijangka akan diteruskan oleh anggota lain pada masa akan datang.

Jurucakap Persatuan Polis Muslim Kebangsaan, Yusuf Nagdi berkata, terdapat kepelbagaian ‘fahaman’ di Leicestershire dan sebagai polis, mereka mahu memberikan khidmat terbaik kepada orang awam.

“Salah satu halangan dalam kalangan masyarakat Muslim dan wanita khususnya adalah pemakaian hijab, jadi langkah berhijab ini memberikan kami satu pendekatan terbaik untuk kedua-duanya.

“Kami tahu ada sebilangan individu yang ingin menyertai pihak polis, tetapi mereka tidak mahu menjejaskan kepercayaan (agama) mereka,” katanya.

Difahamkan, itu bukanlah kali pertama pelaksanaan pemakaian hijab bagi anggota polis wanita Muslim di United Kingdom (UK).

Sebelum itu, Polis Bandar Metropolitan, Polis Bandar North Yorkshire dan Polis Scotland juga telah berbuat demikian, cuma menggunakan hijab rekaan lain.

Meskipun hanya sekadar kain, namun ia dilengkapi dengan kelengkapan aksesori polis, selain turut mempunyai ciri-ciri menarik seperti pengkancing bermagnet yang mudah dilepaskan selepas dipakai.

Bagi hijab versi New Zealand sebelum ini pula, ia diperbuat daripada kain fabrik sukan yang lasak dan ringan, di mana membolehkan pemakainya bergerak bebas dan berasa selesa.

Sumber: BBC

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.