Siakap Keli
Kredit: Google

Masalah Bekalan Air Di Lundu Dijangka Selesai Hujung Tahun

KUCHING, 26 Feb (Bernama) — Masalah bekalan air yang membelenggu penduduk di kawasan Lundu yang terletak kira-kira 80 kilometer daripada bandaraya Kuching dijangka dapat diselesaikan menjelang hujung tahun ini.

Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pelbagai inisiatif telah diambil Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak bagi tujuan itu termasuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan baik pulih Loji Rawatan Air Lundu.

Beliau berkata JBALB juga telah membina semula penapis di muka sauk loji itu bagi mengelak daun serta kayu terbuang masuk ke dalam paip air di loji berkenaan selepas banjir yang melanda Sarawak baru-baru ini telah membawa banyak daun serta kayu masuk ke sungai mengakibatkan paip tersumbat.

“(Sebelum ini) kita sering mendengar rintihan daripada penduduk Kampung Sileng Melayu, Kampung Sungai Cina serta Kampung Sempadi di Lundu mengenai masalah bekalan air. Mengikut taklimat JBALB, melalui inisiatif ini masalah air di kawasan Sematan dan Lundu boleh diselesaikan hujung tahun ini,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Wan Junaidi yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata untuk penyelesaian jangka panjang pula, peruntukan RM129 juta telah diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) untuk projek bekalan air, melibatkan kawasan Bau, Lundu dan Sematan.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.