Siakap Keli

Takut Dibuang Dalam Tong Sampah, Lelaki Menyamar Jadi Abang “Delivery” Donut & Hantar Terus Resume Ke Tangan Boss

Seorang lelaki di San Fransisco, Amerika Syarikat mencuri perhatian ramai apabila dia menghantar resume untuk permohonan kerjanya dengan cara paling kreatif.

Lukas Yla, 25, seorang pakar pemasaran yang berhijrah dari Lithuania itu pada awalnya sedang berusaha mencari kerjaya impian baharunya di sana.

Bagaimanapun, dia menyedari bahawa peluang kerjaya di bandar itu agak terhad, sudah tentu dia perlu bersaing sengit dengan mana-mana individu lain.

Tambahan pula, antara risiko yang dia bimbangkan adalah resume permohonan kerja itu berkemungkinan tidak sampai terus kepada tangan majikan.

Maka apa yang difikir dalam kepalanya ketika itu adalah dia mesti melakukan sesuatu di luar kotak, yang orang lain (pesaing) tidak mungkin boleh melakukannya.

Kredit: Mr. Holmes Bake House

Berbekalkan akal yang panjang, Lukas bertindak ‘menyamar’ menjadi seorang pekerja perkhidmatan kurier Postmates dan memulakan ‘khidmatnya’ dengan menghantar sekotak donat dari restoran Holmes Bakehouse kepada 40 syarikat teknologi kreatif di sekitar sana.

Apa yang menariknya, kotak itu bukan sahaja terkandung sejumlah set donat di dalamnya, malah turut disertakan sekali sekeping surat, info pengenalan dirinya dan pautan ke akaun profil LinkedIn miliknya.

Difahamkan, setiap kotak donat itu dihantar terus kepada majikan syarikat-syarikat tersebut dan dikatakan dia berbuat demikian adalah semata-mata mahu memastikan surat permohonan kerja itu terus sampai ke tangan mereka.

Kredit: Mr. Holmes Bake House
Kredit: Mr. Holmes Bake House

Hasil kelicikannya dalam bertindak, ditambah dengan idea kreatif di luar jangkaan yang tidak dibuat orang lain, Lukas dilaporkan telah menerima 10 panggilan temuduga daripada 40 syarikat yang pernah menerima ‘donatnya’.

Jika merujuk kepada profil LinkedIn miliknya di bawah ini, dia sendiri meletakkan gelaran dirinya yang pernah dikenali sebagai ‘Lelaki Donat’ di bahagian maklumat pengenalan awal diri.

Dalam pada itu, berdasarkan rekod terdahulu, Lukas turut berkongsi pengalaman-pengalaman sepanjang kariernya sebagai unit pemasaran syarikat.

Jelaslah usahanya yang sanggup menyamar menjadi penghantar makanan pada satu ketika dulu membuktikan dirinya memang seorang yang kreatif dan genius.

Jika anda tertarik untuk mengenalinya, cubalah berkunjung ke LinkedIn miliknya di sini.

Sumber: My Modern Met / LinkedIn

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'