SHAH ALAM, 27 Feb – Sebuah tren kargo dengan muatan dilapor tergelincir berhampiran Stesen Keretapi Melayu Berhad (KTMB) Batu Tiga di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, insiden tersebut mengakibatkan kedua-dua landasan berdekatan stesen berkenaan terhalang sepenuhnya.
“Tren yang dalam perjalanan dari Padang Besar, Perlis menuju ke West Port, Klang tergelincir ketika melalui landasan di KM20.041 dalam kejadian awal pagi tadi.
“(Bagaimanapun) tiada kemalangan jiwa yang melibatkan kakitangan mahupun orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, 11 daripada 50 gerabak dilaporkan tergelincir dalam kejadian itu, manakala 39 gerabak lagi dengan lokomotif tren itu masih berada di atas landasan.
Akibat daripada itu, perkhidmatan KTM komuter yang melalui laluan tersebut tidak dapat beroperasi, manakala bagi laluan Pelabuhan Klang dan Tanjung Malim pula akan ditamatkan di stesen Subang Jaya dan Shah Alam.
Kerja-kerja pengalihan gerabak ke lokasi lebih selamat sedang giat dijalankan bagi memberi laluan kepada pembaikian semula landasan agar dapat dilakukan serta-merta.
“Siasatan insiden itu juga telah dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu berlaku,” tambah kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, bas-bas perantara untuk kegunaan penumpang yang terlibat dari stesen Subang Jaya ke stesen Shah Alam dan sebaliknya bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing turut telah disediakan.
KTMB turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku, selain sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sebarang maklumat lanjut boleh dirujuk melalui Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 atau media sosial KTMB.
KENYATAAN MEDIA – TREN KARGO TERGELINCIR, PERKHIDMATAN KOMUTER TERJEJAS
Posted by KTM Berhad on Friday, February 26, 2021
Sumber: KTMB / Navin Kumar