Siakap Keli
Kredit: Google

Barisan Hadapan, Pengamal Media Di Labuan Antara Kumpulan Pertama Terima Vaksin

LABUAN, 27 Feb (Bernama) — Sepuluh wakil media dan beberapa petugas kesihatan adalah antara kumpulan pertama yang menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Labuan hari ini.

Turut menerima suntikan ialah Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan Senator Datuk Bashir Alias, Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan Rithuan Ismail, Ketua Polis Labuan DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Labuan Mohd Hafiez Daud.

Pengamal media terbabit adalah daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Television Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan yang bertugas di Labuan.

Program imunisasi Labuan bermula hari ini di Klinik Kesihatan Membedai dengan Dr Ismuni Bohari, yang merupakan Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, menerima suntikan pertama diikuti pemimpin tempatan, 15 petugas kesihatan dan ketua kerajaan lain.

Ketika melancarkan program imunisasi itu, Bashir berkata fasa pertama (bermula hari ini) akan berlangsung sehingga April diikuti fasa kedua sehingga Ogos (untuk warga emas, penghidap penyakit kronik dan orang kurang upaya (OKU) manakala fasa ketiga dari Ogos hingga Februari 2021.

“Pelaksanaan imunisasi itu akan meliputi kira-kira 103,000 jumlah penduduk di Labuan dijadualkan berlangsung sehingga Februari tahun depan,” katanya.

Kumpulan pertama 4,680 dos vaksin COVID-19 untuk Labuan selamat tiba di Terminal Feri Ro-Ro Labuan pada Jumaat dan fasa pertama membabitkan sejumlah 2,340 petugas barisan hadapan serta bukan barisan hadapan, pemimpin tempatan dan wakil media yang bertugas di Labuan.

Kakitangan, doktor dan jururawat Hospital Labuan akan diberikan vaksin itu bermula esok di premis hospital berkenaan dengan Pengarahnya, Dr Adnan Musa Balidran menerima suntikan pertama.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.