SIBU, 27 Feb (Bernama) — Operasi Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) pandemik COVID-19 dalam kalangan penduduk di Zon 7 Tiong Hua di sini, akan dilaksanakan seawal minggu depan.
Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu Dr Annuar Rapaee berkata ini susulan peningkatan kes COVID-19 di kawasan itu sejak beberapa hari lepas.
Beliau berkata satu perbincangan antara Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu dengan sebuah hospital swasta yang terletak di kawasan tersebut telah diadakan untuk menentukan kaedah terbaik mengesan penduduk yang masih belum melakukan ujian saringan COVID-19.
Dr Annuar yang juga Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak berkata pihaknya juga akan mencari kaedah berkesan bagi mengesan penduduk yang masih belum menjalani saringan.
“Kita akan laksana (ACD) supaya mereka (penduduk) dapat datang ke hospital berdekatan yang berada di dalam kawasan Zon 7 Tiong Hua.
“Kita akan buat di hospital dan tidak lagi membina tempat khusus seperti sebelum ini. (Ujian di hospital akan) senangkan mereka,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 1 Sibu di Klinik Kesihatan Lanang di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah diambil kerajaan negeri bagi menjejaki penduduk di kawasan tersebut yang masih enggan melakukan ujian saringan COVID-19 walaupun operasi ACD serupa pernah diadakan di bangunan parkir bertingkat Majlis Perbandaran Sibu (MPS) baru-baru ini.
Dr Annuar berkata beliau berharap melalui kerjasama dengan hospital swasta itu nanti, setiap penduduk di seluruh zon tersebut dapat dijejaki dan dibawa untuk menjalani ujian saringan COVID-19 dan tidak seorang pun yang akan terlepas.
Sumber: BERNAMA