Siakap Keli
Kredit: Google

Tindakan Segera Pengetua, Warden Berjaya Elak Penularan COVID-19 Di Asrama Sekolah

KOTA KINABALU, 26 Feb (Bernama) — Tindakan segera pengetua dan warden sebuah sekolah menengah di Nabawan, Sabah mengasingkan tiga pelajar yang mempunyai simptom jangkitan COVID-19, berjaya mengekang penularan wabak berkenaan di kalangan pelajar di asrama sekolah itu.

Tiga pelajar bersaudara itu yang menghadiri majlis pengkebumian nenek mereka di sebuah kampung di Nabawan, kemudiannya disahkan positif COVID-19, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

“Ketiga-tiga pelajar itu menunjukkan tanda-tanda tidak sihat, dan di sini saya harus memberi pujian kepada pengetua sekolah iaitu cikgu Haliman Narion dan warden asrama cikgu Lisa Felecia Medin, kerana menempatkan ketiga pelajar terbabit dalam satu bilik lain di asrama.

“Ini adalah satu langkah bijak, kerana dapat mengekang penularan wabak itu daripada menjangkiti pelajar lain, yang sekali gus mengurangkan kes jangkitan kerana ketiga-tiga mereka akhirnya didapati positif COVID-19,” katanya pada sidang media harian COVID-19 Sabah di sini, malam ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata, kes baharu COVID-19 di Sabah meningkat kepada 129 kes berbanding 93 kes semalam (25 Feb), menjadikan jumlah kumulatif wabak berkenaan di negeri ini ialah 52,595 kes, dengan satu kematian dilaporkan di Papar.

Beliau berkata peningkatan jumlah kes itu antara lain disebabkan oleh kluster Sinsingon, Nabawan, yang mencatatkan bilangan kumulatif sebanyak 29 kes, selain turut menular di Kota Kinabalu dengan tiga kes dan Keningau dua kes.

Masidi berkata satu kluster baharu direkodkan iaitu kluster Merotai Besar, Kalabakan dengan jumlah kumulatif positif COVID-19 sebanyak 26 kes pada hari ini.

Beliau berkata, Tongod bertukar daripada zon kuning ke zon hijau selepas tiada kes baharu direkodkan di daerah berkenaan.

Sementara itu, Masidi berkata seramai 132 pesakit COVID-19 di Sabah telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di negeri ini seramai 51,184 orang.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.