KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) — Seorang wanita ditemukan mati dengan kesan jerutan di leher manakala mayat seorang lelaki Pakistan ditemukan tergantung, di dalam sebuah rumah flat di Jalan Seri Sentosa di sini, semalam.
Mayat lelaki berusia 41 tahun itu ditemukan dalam keadaan tergantung di ruang tamu, manakala mayat wanita warga tempatan berusia 53 tahun ditemui terbaring di dalam bilik tidur rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pemilik rumah selepas dimaklumkan seorang wanita yang turut menyewa di rumah sama pada pukul 6.08 petang.
Beliau berkata, siasatan awal pasukan forensik menemukan kesan lebam sepanjang 15 sentimeter di leher wanita itu disyaki dijerut.
“Kali terakhir kedua-dua mangsa dilihat oleh saksi kejadian yang juga teman serumah mereka, kira-kira 7.30 pagi semalam sebelum keluar bekerja dan mereka berada dalam keadaan baik.
“Keterangan daripada jiran juga menyatakan tidak mendengar sebarang kekecohan atau bunyi bising dari rumah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Identiti lelaki dan wanita terbabit tidak didedahkan, dan polis masih menjalankan siasatan mengenai hubungan kedua-dua mereka, serta punca kejadian.
Mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: BERNAMA