Siakap Keli

Zii Jia Buru Keputusan Positif Di Basel

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Selepas bergelut mencapai tahap prestasi terbaik, pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia merasakan beliau perlu membuat sesuatu pada dua pertandingan utama di Eropah bermula dengan kejohanan badminton Terbuka Switzerland di Basel pada 2 hingga 7 Mac ini.

Secara peribadi, Zii Jia yang enggan meletakkan tekanan terhadap dirinya pada kejohanan berstatus Super 300 itu, mengintai peluang memperbaiki pencapaian dalam dua kejohanan terdahulu dan tampil dengan permainan lebih kemas bagi meraih keputusan positif.

Ketiadaan jurulatih perseorangan lelaki Datuk Tey Seu Bock di Switzerland tidak menjejaskan tumpuan pemain berusia 22 tahun itu yang optimis mampu bekerjasama dengan baik bersama Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann.

“Memang saya rasa kena ada keputusan yang baik di Eropah tetapi pada masa sama saya juga tidak mahu memberi tekanan berlebihan kepada diri sendiri. Saya akan berusaha sebaiknya dan yang penting sekarang saya sedang mencari kesesuaian corak permainan, itu paling penting.

“Kita tidak boleh buat apa (ketiadaan Seu Bock) kerana ia pada saat-saat akhir, di sana juga masih ada jurulatih Choong Hann dan kita telah berbincang banyak perkara. Saya rasa tiada masalah bersama jurulatih Choong Hann di sana,” katanya dalam klip video disediakan BAM, hari ini.

Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan merupakan antara anggota kontinjen badminton negara berlepas ke Basel lewat malam semalam dalam usaha memperbaiki kedudukan ranking masing-masing.

Katanya, ketiadaan ramai nama besar badminton dunia pada kejohanan tersebut perlu dimanfaatkan bagi memburu mata untuk mencerahkan peluang menempah slot ke temasya Sukan Olimpik di Tokyo pada Julai.

“Harap ini menjadi satu peluang terbaik untuk kita bangkit semula sebab ramai pemain yang menduduki ranking teratas tidak sertai. Jadi bagi saya ini satu peluang bagus untuk kita meraih mata bagi melonjakkan kedudukan ranking,” tambah beliau.

Selepas tamat Terbuka Switzerland, skuad badminton negara akan menyertai kejohanan berprestij All-England yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 21 Mac di Utilita Arena Birmingham, England.

Bulan lepas, Zii Jia tewas dalam saingan suku akhir dan tersingkir seawal pusingan pertama masing-masing pada Terbuka Yonex Thailand dan Terbuka Toyota Thailand, sebelum persembahan hambar beliau berterusan apabila tewas kesemua tiga aksi pada Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Zii Jia akan memulakan cabaran di Terbuka Switzerland menentang pemain Korea Selatan Heo Kwang Hee di pusingan pertama sementara pilihan pertama kejohanan dan pemain ranking kedua dunia Viktor Axelsen dari Denmark akan berdepan Jason Anthony Ho-Shue dari Kanada.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang