Siakap Keli
Kredit: Google

Dua Beradik Warga Syria Didakwa Sogok Imigresen RM10,000

ALOR SETAR, 2 Mac (Bernama) — Dua beradik lelaki warga Syria hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memberikan suapan berjumlah RM10,000 kepada seorang penolong penguasa Imigresen di Langkawi pada Januari tahun lepas.

Tertuduh 38, dan adiknya, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Murtazadi Amran selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam Bahasa Inggeris kepada mereka.

Mereka didakwa memberikan suatu suapan wang tunai sebanyak RM10,000 kepada Penolong Penguasa Imigresen Cawangan Langkawi di Restoran Yasmeen Express Pantai Chenang pada 12.50 pagi, 22 Jan 2020.

Ia sebagai dorongan kepada penerima untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lima pekerja restoran itu yang telah ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Tertuduh yang merupakan pemilik yang juga cef restoran itu manakala adiknya ialah pengurus restoran berkenaan.

Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan kedua-dua mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin warga tempatan setiap seorang berserta syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan dan menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah.

Namun, mahkamah membenarkan penyerahan pasport kepada tertuduh 38 tahun yang telah berkahwin dengan wanita warganegara Malaysia itu kepada mahkamah ditangguhkan sehingga 18 Mac depan bagi tujuan menyelesaikan urusan permohonan berkaitan visanya di Jabatan Imigresen pada 14 Mac.

Mahkamah menetapkan 8 April depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tan Sew Ping manakala dua beradik itu diwakili Peguam Kuldeep Singh Gill.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.