Siakap Keli
Gambar: NDTV

(Video) Kedai Kena ‘Rompak’, Anjing ‘Pengawal’ Ini Terus Tidur Tanpa Tindakan Bikin Terhibur

Umum telah mengetahui bahawa anjing jenis husky dengan sifat mereka yang mesra, tidak agresif, tidak disarankan digunakan untuk menjadi anjing penjaga.

Ianya terbukti menerusi satu video lucu yang memaparkan seekor anjing husky ini sedang tidur dengan lena semasa latihan rompakan diadakan.

Menurut Daily Mail, Lucky adalah seekor anjing jenis husky kepunyaan pemilik sebuah kedai kemas di Thailand.

Semasa latihan untuk kesediaan keselamatan pada 16 Februari lalu, seorang perompak bersenjata telah memasuki kedai dan mengacukan pistol palsu kepada pekerja sambil menuntut mereka menyerahkan barang kemas dan wang tunai.

Latihan itu dilakukan oleh pihak polis untuk memeriksa keselamatan serta melatih kakitangan mengenai cara-cara untuk bertindak semasa rompakan bersenjata terjadi, lapor The Mirror.

Worawut Lomwanawong, yang memiliki kedai barang kemas di bandar Chiang Mai, Thailand itu terus menunggu anjing pengawalnya bangun dan menerpa ke arah perompak tersebut namun sebaliknya Lucky hanya tidur sahaja walaupun rompakan itu berlaku tidak jauh daripadanya.

Rakaman CCTV yang melucukan menunjukkan anjing itu enggan bangun, seakan tidak peka dengan kehadiran perompak bersenjata dan hanya mengabaikan situasi yang direka untuk latihan itu. Rakaman tersebut disiarkan di laman Facebook yang dikhaskan untuk Lucky.

Video lucu yang disiarkan di Facebook itu telah menjadi tular. Difahamkan video tersebut ditonton lebih 1.4 juta kali oleh warganet.

Sumber: NDTV

Aqmal Ezany

I write what is right