Siakap Keli

“Demi Mengajar Anak Bangsa”, Kisah Pengorbanan Guru Redah Hutan 80 Km Naik EX5 Untuk Ke Sekolah

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Pengorbanan seorang guru yang sanggup meredah perjalanan berlumpur sejauh berpuluh-puluh kilometer adalah sesuatu yang harus dipuji.

Demikianlah kisah seorang guru dari Kota Bharu, Kelantan ini apabila beliau sanggup melupakan rasa selesa yang wujud di kebanyakan sekolah di kawasan bandar.

Sebaliknya beliau bersama-sama guru-guru lain tekad menabur bakti kepada anak-anak Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman.

‘Berbekalkan’ sebuah motosikal Honda EX5 Fuel Injection (Fi) yang digelar sebagai ‘Fi Kambing’, ini catatan guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan muzik di Sekolah Kebangsaan Balar, Gua Musang, Mohd Halim Mohamad Zaid yang dikongsikan di Facebooknya baru-baru ini.

Aku , Fi Kambing untuk anak bangsa.

Gambar: Ben Zaid

Dari Kuala Betis Gua Musang ke Pos Balar sejauh 80 kilometer melalui laluan balak yang dah ditinggalkan untuk sampai ke sekolah tempat aku mengajar.

Mula-mula risau juga takut kalau kambing ni ‘mengembek’ di tengah jalan, Alhamdulillah kambing ni ‘steady’ meredah jalan yang Tuhan sahaja tahu betapa azabnya.

Orang tanya kenapa tak guna ‘scrambler’? Tak sesuai kawan, jalannya tak sesuai sebab dengan ketinggian dan motornya yang lebar. Kapcai biasa paling sesuai.

Siapa yang tanya ‘kambing’ ni lasak ke tak? Jawapan aku memang layak dipanggil kambing gurun. Minyak jimat. Enjin ‘pickup’. Enjin masih standard cuma luaran je aku ada ‘modified’ sikit ikut kesesuaian trek bukit.

Gambar: Ben Zaid
Gambar: Ben Zaid

Perjalanan nak ke sekolah ni Alhamdulillah ambil masa dalam lima jam untuk musim jalan kering. Risiko tetap ada. Susah aku nak gambarkan kesukarannya. Tuhan sahaja yang tahu.

Musim hujan kadang ambil masa sehingga tujuh ke sembilan jam untuk sampai ke sekolah. Gitulah rutin aku setiap minggu. Aku masih baharu di daerah terpencil ini.

Bukan ragu bukan curiga, aku ‘salute’ kepada cikgu lama di sini mengerah tenaga dan keringat demi anak-anak bangsa kita. Perjalanan kami masih panjang sebenarnya. Terima kasih kalian semua. Jasamu mendahului aku sebenarnya. Doakan aku sahabat .

Salam muhibbah daripada aku sahabat EX5 Fi ‘kambing’ di jauh belantara. 

#ankel rindu anak-anak dan isteri di Kota Bharu. Apa khabarlah mereka? Ayah pulang nanti, tunggulah di muka pintu.

Gambar: Ben Zaid

Sumber: Ben Zaid

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'