Siakap Keli

Leong Adjustment Sdn. Bhd. Memulakan Transformasi Digital Untuk Terus Berdaya Saing

Kebergantungan terhadap sistem tuntutan insurans berdasarkan kaedah konvensional melibatkan urusan pemprosesan kini boleh dikatakan sudah ditelan zaman. Pada masa kini, transformasi digital telah mendorong inovasi perniagaan bagi syarikat penyedia penyelesaian tuntutan insurans. Bagi merebut peluang pertumbuhan baharu ini, Leong Adjustment Sdn. Bhd. telah melakukan perubahan berani apabila mengadaptasi teknologi digital untuk meningkatkan prestasi dalam proses perniagaannya sekaligus mengurangkan kerumitan kepada pemegang polisi dan penanggung insurans.

Pengarah Leong Adjustment Sdn. Bhd. , Jacqueline Leong, mengakui bahawa pandemik COVID-19 menyebabkan syarikatnya menyedari keperluan untuk pendigitalan kerana jika tidak melaksanakannya, mereka berdepan risiko akan ketinggalan. Bagi menangani cabaran yang dihadapi syarikat, sokongan yang diberikan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Geran Automasi Pintar (SAG) yang disalurkan kerajaan melalui Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) hadir tepat pada waktunya untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh perniagaan di negara ini. 

“Syarikat memiliki pengalaman lebih sedekad dalam industri insurans. Sehubungan itu, kami menyedari terdapat ruang untuk penambahbaikan melibatkan tempoh masa pemprosesan tuntutan, perkongsian maklumat yang tidak tepat dan ketepatan tuntutan.  Dengan mempercayai bahawa ketepatan merupakan petunjuk prestasi utama (KPI) dalam perkhidmatan, syarikat memulakan transformasi digital dengan membangunkan Projek Tuntutan Insurans Awan RTE777 pada tahun lalu,”katanya sambil menjelaskan bahawa ini juga merupakan sebahagian daripada transformasi kerja konvensional  model perniagaan intensif.

Syarikat berkenaan juga memutuskan untuk mengembangkan sistem penilaian kerugian insurans berasaskan aplikasi web dan mudah alih di bawah Projek Tuntutan Insurans Awan RTE777.

Nilai teras Projek Tuntutan Insurans Awan RTE777 adalah untuk mewujudkan platform 3R iaitu real time (masa sebenar), relevance (relevan) dan reliable (boleh dipercayai) untuk pemegang polisi, penanggung insurans dan pihak-pihak yang berkaitan iaitu bermula pemberitahuan tuntutan hingga persetujuan.

Penyebaran Projek Tuntutan Insurans Awan RTE777 akan memungkinkan ketepatan maklumat 100 peratus dan mengurangkan maklumat tidak tepat dan seterusnya akan mengurangkan kos perjalanan dan tempoh waktu pemprosesan sebanyak 30 peratus. Ini juga akan mempercepatkan pemprosesan tuntutan dalam tempoh 24 jam dan seterusnya mewujudkan platform pemprosesan tuntutan yang lebih telus dan mengurangkan kebocoran tuntutan (iaitu kerugian kewangan akibat ketidakcekapan pengurusan tuntutan yang disebabkan oleh kegagalan dalam proses sedia ada). 

“Sebagai penyedia penyelesaian tuntutan insurans, kita harus sentiasa mengikuti perkembangan dan amalan semasa di sektor ekonomi lain untuk menjaga penilaian dan supaya pendapat kita yang tidak berat sebelah. Perkara yang paling mustahak ialah semua pemegang polisi dilindungi. Setiap tuntutan insurans dibayar dengan telus dalam jangka masa yang munasabah.

“Syarikat berasa terharu dan berbangga kerana menerima geran padanan yang telah mengurangkan beban kewangan syarikat dan memungkinkan untuk fokus sepenuhnya pada segmen penyelidikan dan pengembangan berdasarkan projek pendigitalan,” katanya.

Leong Adjustment Sdn. Bhd. merupakan salah satu daripada 66 PKS dan syarikat kategori pertengahan yang menerima geran di bawah pakej SAG – PENJANA yang diperkenalkan kerajaan pada tahun lalu.

“Penglibatan MDEC dengan inisiatif ini merupakan satu kebanggaan yang luar biasa kepada agensi kerana berpeluang  membantu untuk memperkasakan perniagaan supaya terus berdaya saing dan kekal kukuh menerusi pendigitalan. MDEC akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), agensi kerajaan yang lain dan rakan kongsi  untuk memastikan kelangsungan perniagaan PKS dan usahawan mikro di negara kita. Komitmen ini dizahirkan menerusi SAG yang dapat mengubah PKS , syarikat kategori pertengahan dan usahawan mikro kepada perniagaan yang bertenaga digital dan membantu berkembang dalam realiti baharu ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri. 

“Menjadikan perniagaan diperkasa secara digital merupakan salah satu teras utama MDEC. Leong Adjustment Sdn. Bhd. Merupakan salah satu daripada PKS dan usahawan mikro yang mendapat manfaat menerusi geran yang disediakan. Saya ingin menegaskan bahawa MDEC tidak akan mengurangkan usaha untuk memperkasakan perniagaan secara digital kerana pada akhirnya, ia akan memberi manfaat kepada masyarakat dan negara sejajar dengan Malaysia 5.0 yang akan memastikan kemakmuran bersama seperti ditekankan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL). Ini seterusnya akan mendorong Malaysia bergerak ke arah mencapai visi menjadi Nadi Digital ASEAN,” kata Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff. 

Dilancarkan pada Julai 2020, SAG MDEC menyasarkan syarikat – syarikat di sektor perkhidmatan untuk mengautomasikan proses perniagaan mereka ke arah pendigitalan. Bantuan ini bertujuan untuk mendorong perniagaan memulakan pengembangan dan pelaksanaan proses digital dan penggunaan alat teknologi untuk mengautomasikan operasi perniagaan penerima.

Nur Farra