Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Pasangan Tunang Didakwa Edar, Miliki Dadah

KUALA TERENGGANU, 3 Mac (Bernama) — Seorang lelaki bersama tunangnya hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memiliki dan mengedar dadah.

Mohamad Amirul Aliff Mat Jusoh, 22, seorang penganggur, didakwa atas lima pertuduhan membabitkan pengedaran dadah jenis metamfetamin seberat 2,848 gram dan heroin seberat 1,096 gram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan kawasan Kampung Jambu Bongkok, Marang dan di belakang sebuah rumah di kampung yang sama.

Tunangnya, Nurin Rasyiqah Adabiah Mat Ideris, 21, pula berdepan dua pertuduhan iaitu bersama-sama Mohamad Amirul Aliff mengedar dadah jenis metamfetamin seberat 102 gram dan kodein seberat 4.5 liter di sebuah rumah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 1 pagi hingga 1.10 pagi 2 Feb lepas mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta Seksyen 12(2) akta sama dengan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan Majistret Nor Mazrinie Mahmood menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

— BERNAMA

"