Siakap Keli
Kredit: Bernama

Sama-sama Pelihara Dan Pulihara Hutan – Shamsul

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) — Masyarakat perlu sama-sama berganding bahu memelihara dan memulihara hutan yang semakin terancam ekosistemnya, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Dalam perutusan sempena Hari Hidupan Liar Sedunia hari ini, beliau berkata hutan bukan sahaja menjadi habitat utama flora dan fauna tetapi juga menyumbang kepada ekosistem seperti bekalan air bersih, habitat hidupan liar serta rekreasi.

Malah katanya ia juga menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat yang bergantung hidup dengan sumbernya secara langsung.

“Hutan perlu dipelihara dan dipulihara bagi meningkatkan ketahanan ekosistem yang semakin terancam serta membantu dalam mengurangkan fenomena perubahan iklim.

“Degradasi hutan, perubahan guna tanah, pemburuan dan perdagangan haram akan menyebabkan kepupusan spesies-spesies flora dan fauna, meningkatan konflik manusia-hidupan liar serta menjejaskan potensi ekopelancongan,” katanya.

Hari Hidupan Liar Sedunia disambut 3 Mac setiap tahun dengan tema sambutan tahun ini `Forests and Livelihoods: Sustaining People and Planet’.

Mengulas mengenai tema berkenaan, Shamsul Anuar berkata ia dipilih bagi menekankan kepentingan ekosistem hutan dan spesies-spesiesnya dalam memastikan kesinambungan kehidupan manusia termasuk Orang Asli dan komuniti setempat yang mempunyai hubungan sangat erat dengan hutan.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.