New Delhi – Seorang lelaki India yang telah disahkan meninggal dunia dilaporkan bergerak sebelum dibedah siasat, tulis Today Online, memetik kenyataan seorang pegawai kesihatan pada Rabu.
Lapor portal tersebut, mangsa berusia 27 tahun yang cedera parah dalam kemalangan motosikal itu telah dihantar ke sebuah hospital swasta di Karnataka dan disahkan meninggal dunia. Dia kemudiannya ditamatkan bantuan pernafasan sebelum dihantar ke hospital kerajaan untuk menjalani bedah siasat.
Bagaimanapun, menurut keluarga mangsa, pakar patologi mendakwa terlihat jasad mangsa bergerak ketika berada di atas meja autopsi. Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital lain untuk menjalani rawatan di mana keadaannya dilaporkan semakin baik.
Tambah Today Online, pegawai kesihatan kerajaan mendakwa, doktor di hospital swasta tersebut telah tersalah membuat penilaian semasa menghentikan bantuan pernafasan kepada mangsa dan mengesahkannya meninggal dunia.
Pun begitu, keluarga mangsa masih belum memfailkan aduan rasmi kepada pihak berkuasa, katanya.
Sumber: Today Online