Siakap Keli
Gambar: Google

Penganggur Mengaku Tidak Bersalah Hina Nabi Muhammad SAW

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) — Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memuat naik video jelik menghina Nabi Muhammad SAW menerusi akaun Facebook miliknya, dua tahun lalu.

Tertuduh, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.

Mengikut kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa secara sedar telah memuat naik video kenyataan yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook dengan profil nama “R**** N*********” pada 28 Jun 2019.

Hantaran itu kemudian dibaca oleh seorang pengguna Facebook lain di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ di sini pada 5.05 petang, 15 Mei 2020.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan dia mengalami masalah kemurungan selain tidak lagi bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-pertuduhan dan menetapkan 12 April depan untuk sebutan semula kes.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.