Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Google

Boleh Cuba Buat, Ini 6 Cara Elak Kereta Jadi Bahang Setelah ‘Parking’ Di Tempat Panas Terik

Pasti ramai diantara kita yang pernah merasai rasa bahang dan panas sejurus selepas pintu kereta kita dibuka. Manakan tidak, parkir dekat tempat terbuka di bawah terik matahari pula.

Ais krim dalam kereta pun mesti laju je cair kalau suhu dalam kereta tu panas sangat. Tapi persoalan pastinya timbul tentang bagaimana parkir sekejap je kereta boleh jadi sangat panas?

Menurut portal Reviewed, pada kiraan suhu 70°F di siang hari, bahagian dalam kereta anda boleh mencapai suhu sehingga lebih dari 115°F dalam masa satu jam sahaja anda meninggalkan kereta anda di bawah sinar matahari.

Kita semua pasti pernah merasai apabila masuk je ke dalam kereta, terasa seakan berada dalam ketuhar gelombang mikro kan?

Justeru daripada itu portal Reviewed ada bekongsikan tentang mengapa bahagian dalam kereta anda boleh menjadi sangat panas dan apa yang anda boleh lakukan untuk menanganinya.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti penjelasannya seperti berikut:

Mengapa kereta saya boleh menjadi sangat panas?

Ada pepatah lama yang menyatakan bahawa tenaga tidak dapat dibuat atau dihancurkan. Apabila cahaya matahari melewati cermin hadapan kereta anda, ianya akan diserap oleh tempat duduk dan tempat duduk kereta anda kemudiannya akan menjadi panas.

Dari segi saintifiknya, haba adalah getaran molekul. Oleh kerana kebanyakan orang menaikkan tingkap semasa memarkir kenderaan, haba akan menjadi seperti mesin ombak di kolam rekreasi, getaran akan terperangkap dan bertambah kuat.

Itulah sebabnya walaupun pada hari yang dingin, bahagian dalam kereta anda boleh mencapai suhu yang agak tinggi.

Jadi, ini dikongsikan beberapa kaedah boleh dilakukan untuk mengurangkan kesan bahang dalam kereta anda.

Pelindung matahari dan pelindung tingkap

Apabila anda terpaksa meletakkan kenderaan anda di bawah sinar matahari, pelindung matahari adalah antara cara yang terbaik. Ianya dapat menghalang gelombang tenaga yang panas daripada menembusi cermin depan kereta anda seterusnya memanaskan bahagian dalam kereta anda.

Menjauhkan sinar UV juga dapat membantu melindungi fabrik kerusi serta dashboard kereta anda daripada pudar.

Turunkan tingkap sedikit

Satu kajian yang dijalankan dalam jurnal Pediatrics menunjukkan bahawa menurunkan tingkap dalam paras dua inci dapat menurunkan suhu sehingga 28°F. Sebagai contoh jika suhu dalam kereta anda akan menjadi 122°F, ianya adalah lebih baik daripada 150°F.

Untuk menjelaskan dengan lebih terperinci, suhu tersebut adalah suhu yang sangat panas untuk mana-mana makhluk hidup merasainya. Justeru daripada itu, jangan biarkan haiwan peliharaan atau anak-anak anda berada di dalam kereta yang diparkir walaupun tingkapnya diturunkan sedikit untuk jangka masa yang lama. Ini kerana Suhu 122°F boleh membawa maut.

Buka tutup pintu kereta seakan ‘mengipas’

Secara teknikalnya, cara ini dapat mengeluarkan udara panas di dalam kereta anda serba sedikit. Turunkan cermin penumpang sahaja dan biarkan cermin bahagian lain tertutup.

Kemudian, terus buka dan tutup pintu di bahagian pemandu sebanyak beberapa kali. Apabila telah selesai, semua udara panas di dalam kereta akan bertukar dengan udara yang kurang panas di luar.

Portal Reviewed turut menyatakan bahawa, terdapat beberapa artikel yang menunjukkan bahawa kaeadah ini lebih berkesan daripada menghidupkan penghawa dingin ketika mula-mula anda memasuki kereta anda.

Lindung tempat duduk anda

Salah satu sebab utama mengapa kereta anda menjadi sangat panas ketika cuaca panas ialah tempat duduk anda diperbuat daripada bahan yang menyerap haba dengan baik. Sekiranya anda lindung tempat duduk anda dengan selimut atau tuala, cahaya matahari tidak akan memanaskan tempat duduk anda secara terus.

‘Tinted’ cermin

Merupakan pilihan yang agak mahal, tetapi cara ini juga adalah cara yang akan membuatkan anda tidak pening kepala. Tinted akan menyekat sebahagian daripada sinaran matahari seterusnya membantu menurunkan suhu. Pastikan bahawa tinted yang digunakan tidak menyalahi undang-undang yang ditetapkan.

Turunkan tingkap, hidupkan penghawa dingin, dan pandu

Walaupun cara ini seakan biasa-biasa sahaja, namun tahukah anda bahawa ianya dapat menukar udara panas dalam masa yang singkat seterusnya dapat menyejukkan kereta anda.

Apabila anda memandu dengan tingkap diturunkan dan penyaman udara tidak berfungsi, anda telah memaksa udara yang lebih panas keluar dan menggantikannya dengan udara yang lebih sejuk.

Kaedah ini berfungsi lebih cepat daripada hanya menghidupkan penghawa dingin sambil menutup cermin. Selepas kira-kira 30 saat, anda boleh menaikkan cermin kereta anda semula.

Sumber: Reviewed

Aqmal Ezany

I write what is right

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.