Bagi pencinta kucing, pasti anda cukup kenal dengan kucing-kucing terkenal seakan-akan ‘influencer’ di media sosial kan?
Di negara kita, antara kucing terkenal yang mempunyai ratusan ribu pengikut adalah seperti Fluffy, Jep, Hamdan dan banyak lagi.
(Jep sudah mati akibat dilanggar kenderaan dan Fluffy pun telah pergi baru-baru ini kerana komplikasi kesihatan. Salam takziah untuk Ummi, tuan Jep dan Papa, tuan Fluffy)
Sementara itu di luar negara, kucing yang selalu menjadi sebutan ramai di media sosial adalah Bob si kucing jalanan (sahabat sejati seorang bekas pengemis), Pisco, Henry King Cat dan bermacam-macam nama lagi.
Tapi mungkin ramai yang masih belum kenal dengan Olive, si kucing istimewa bermata seakan juling yang digelar sebagai ‘Crazy Eyes Olive’.

Difahamkan, Olive adalah kucing yang sangat bertuah kerana hidupnya ‘bermula’ sejak dijumpai tuannya, Michelle Traynor dalam keadaan sakit suatu masa dahulu.
“Olive pada waktu itu ditemui bersendirian dan ‘ditutupi’ dengan getah pokok dalam keadaan sangat tidak sihat.
“Selepas saya membersihkannya beberapa kali dan memberinya rawatan, akhirnya dia pulih dan mula hidup bersama saya,” katanya.

Kenapa Olive juling?
Bagi yang perasan, mata Olive sangat berbeza dengan kebanyakan kucing normal yang lain kerana kedua-dua belah matanya kelihatan juling dan tidak sama.
Difahamkan, Olive dikatakan menderita masalah strabismus, iaitu satu keadaan di mana kedudukan mata tidak sejajar dengan betul akibat berlaku kerosakan saraf pada otot yang mengawalnya.
Namun walaupun nampak seakan cacat, tapi Olive masih boleh hidup seperti biasa.

“Dia boleh bermain dan berjalan-jalan mengelilingi rumah macam kucing normal yang lain. Walaupun dia kelihatan sangat berbeza berbanding mereka,” tambah Michelle lagi.
Baginya, setiap kucing adalah perlu untuk dibela dan dijaga sebaiknya. ‘Adoption’ dan rumah perlindungan juga merupakan langkah yang terbaik.
Malah pada Michelle, Olive yang tidak sempurna ini juga seharusnya perlu dilayan sama macam kucing-kucing yang lain. Mereka semua layak untuk disayangi.
Bagi yang ingin ‘berkenalan’ dengan Olive si kucing istimewa ini, bolehlah mengikutinya di laman Instagram @crazy_eyes_olive yang kini sudah diikuti oleh lebih 160,000 peminat.
Sumber: The Chive / Cole and Marmalade