Tsutomu Yamaguchi sedang bersiap untuk meninggalkan bandar Hiroshima ketika bom atom jatuh. Jurutera marin berusia 29 tahun itu berada di sana selama tiga bulan demi tugasnya kepada Mitsubishi Heavy Industries.
Pada 6 Ogos 1945, tarikh tersebut sepatutnya menjadi hari terakhirnya berada di bandar Hiroshima. Dia tidak sabar-sabar lagi untuk berangkat pulang ke rumah bertemu isterinya, Hisako, dan anak mereka, Katsutoshi.
Letupan pertama di Hiroshima
Sekitar jam 8.15 pagi, Yamaguchi yang sedang berjalan kaki ke perkarangan kapal Mitsubishi untuk kali terakhir terdengar bunyi enjin pesawat di atas udara.
Melihat ke arah langit, dia melihat seorang pengebom dari pesawat B-29 milik Amerika Syarikat menjatuhkan satu objek kecil yang disambungkan ke payung terjun. Tiba-tiba, langit meledak dalam cahaya dan Tsutomu tidak dapat melihat apa-apa lagi. Dia sempat bergerak ke dalam parit sebelum satu ledakan kuat kedengaran.
Tubuh Tsutomu yang tercampak, berpusing-pusing di udara seperti puting beliung sebelum jatuh semula ke tanah. Apabila sedar dari pengsan, Tsutomu melihat semuanya gelap tanpa bunyi. Ketika itu, dia dihujani dengan abu yang banyak dan dapat melihat di langit awan gergasi berbentuk cendawan di bandar Hiroshima. Wajah dan lengannya pula terbakar teruk, manakala kedua-dua gegendang telinganya pecah.
Dia yang bingung kemudiannya berjalan menuju ke kapal Mitsubishi. Di situ dia bertemu rakan sekerjanya, Akira Iwanaga dan Kuniyoshi Sato, di mana keduanya terselamat dalam letupan itu. Setelah bermalam di tempat perlindungan serangan udara, keesokkannya pada 7 Ogos mereka bertiga menuju ke stesen kereta api yang dikhabarkan masih beroperasi.
Perjalanan tersebut membawa mereka melalui pemandangan negeri di mana api masih marak, bangunan-bangunan hancur dan mayat-mayat hangus bergelimpangan di tepi jalan. Sebilangan besar jambatan di kota itu telah runtuh dan untuk meredah sungai, Yamaguchi bersama rakan-rakannya terpaksa berenang melalui lapisan mayat terapung.
Letupan kedua di Nagasaki
Setelah sampai di stesen, dia menaiki kereta api yang penuh dengan penumpang yang melecur dan meneruskan perjalanan semalaman ke kampung halamannya di Nagasaki. Setibanya di sana pada pagi 8 Ogos, Tsutomu terus ke hospital bagi merawat kecederaannya. Kebetulan, doktor yang merawat Tsutomu ketika itu merupakan bekas rakan sekolahnya.
Namun, lelaki itu tidak mengenali Tsutomu pada mulanya kerana luka melecur yang menghitam di tangan dan wajah Tsutomu begitu parah. Malah, keluarga Tsutomu juga tidak mengenalinya. Sehinggakan, apabila dia pulang ke rumah selepas itu dengan wajah dan tangan yang dibalut, ibu Tsutomu menuduhnya sebagai hantu.
Walau melecur dengan teruk, ianya tidak menghalang Tsutomu untuk pergi bekerja pada pagi 9 Ogos 1945 di pejabat Mitsubishi di Nagasaki. Sekitar jam 11 pagi, dia memberikan laporan kepada pengarah syarikat dengan menceritakan peristiwa yang berlaku di Hiroshima. Tetapi, pihak atasan seakan tidak mempercayainya dan mempersoalkan semula bagaimana dengan sebutir bom boleh memusnahkan seluruh bandar.
Di saat Tsutomu cuba memberi penjelasan, ketika itulah peristiwa ngeri yang berlaku tiga hari lalu di Hiroshima berulang semula. Cahaya putih mula menutup pandangan dan Tsutomu berbaring ke atas lantai beberapa saat sebelum letupan kuat menghancurkan tingkap pejabatnya. Pembalut lukanya tertanggal dan dia terkena radisasi yang kuat impak daripada letupan bom.
Bom atom yang melanda Nagasaki kali ini adalah lebih kuat daripada yang dijatuhkan di Hiroshima. Namun, Tsutomu begitu bernasib baik kerana pejabatnya terletak di lanskap berbukit dan struktur yang kuat untuk menahan letupan berlaku dari dalam pejabat. Begitupun, bangunannya tetap mengalami kerosakan teruk. Bayangkan, dalam tempoh tiga hari dia mengalami kemalangan dalam jarak dua batu dari letupan nuklear tetapi masih juga terselamat.
Berlari pulang ke rumah untuk melihat keluarganya
Setelah keluar dari bangunan Mitsubishi, Tsutomu bergegas pulang ke rumah untuk memeriksa keadaan isteri dan anaknya. Dia sangat takut apabila melihat rumahnya telah runtuh tetapi menarik nafas lega apabila menjumpai isteri dan anaknya dalam keadaan selamat dan mengalami cedera ringan. Ketika letupan berlaku, isteri Tsutomu dan bayinya bernasib baik kerana berada di luar bagi mencari ubat lecur untuk suaminya. Saat kejadian, kedua-dua beranak itu berjaya berlindung di sebuah terowong.
Walau terselamat dalam kedua-dua letupan, tetapi ianya memberi kesan radiasi kepada Tsutomu. Radisi yang diterima dua kali menyebabkan rambutnya gugur, luka di lengannya berubah menjadi kesan reput dan dia mula muntah tanpa henti.
Tsutomu tinggal di tempat perlindungan bersama isteri dan anaknya ketika kerajaan Jepun menerusi Maharaja Hirohito di dalam siaran radio mengumumkan perletakan senjata dan menyerah diri pada 15 Ogos 1945.
Hidup mulai beransur baik dan dia menjalani kehidupan normal
Tidak seperti kebanyakan mangsa yang merana akibat terkena radiasi, keadaan Tsutomu semakin lama semakin pulih dan dia menjalani kehidupan yang agak normal selepas itu. Semasa Jepun dikuasai oleh Amerika Syarikat, Tsutomu sempat berkhidmat sebagai penterjemah kepada tentera AS sebelum menyambung kerjayanya sebagai jurutera marin di Mitsubishi.
Tsutomu dan isterinya dikurniakan dua lagi anak perempuan pada tahun 1950-an tetapi kesan trauma daripada tragedi hitam itu tidak mudah untuk dilupakan bagitu sahaja. Tsutomu mengelak untuk menceritakan semula kenangan mengerikan yang berlaku di Hiroshima dan Nagasaki secara terbuka sehinggalah di era 2000 dia mengeluarkan sebuah buku mengenai semua pengalamannya. Dia turut menjadi sebahagian daripada gerakan senjata anti-atom.
Susulan pendedahan itu, Tsutomu berangkat ke New York pada tahun 2006 kerana dijemput memberikan ucapan pada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tsutomu memberikan ucapan untuk menggesa perlucutan senjata nuklear di hadapan PBB. “Setelah mengalami pengeboman atom dua kali dan masih bertahan, adalah takdir saya untuk membicarakannya,” katanya dalam ucapan.
Meninggal di usia 93 tahun setelah dua kali hampir mati
Tsutomu Yamaguchi bukanlah satu-satunya orang yang mengalami dua letupan atom. Rakan sekerjanya, Akira Iwanaga dan Kuniyoshi Sato juga berada di Nagasaki ketika bom kedua jatuh, begitu juga Shigeyoshi Morimoto, pembuat layang-layang yang secara ajaib selamat di Hiroshima walaupun jaraknya hanya setengah batu dari tempat letupan.
Menurut anggaran, seramai 260,000 terselamat dalam serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki semasa Perang Dunia Kedua tetapi hanya sekitar 165 orang sahaja yang mengalami kedua-dua serangan tersebut seperti Tsutomu.
Malah, dia menjadi satu-satunya individu yang secara rasmi diiktiraf oleh kerajaan Jepun pada tahun 2009 sebagai “nijyuu hibakusha,” atau “orang yang dibom-dua kali.” Setahun kemudian, pada 4 Januari 2010, Tsutomu Yamaguchi menghembuskan nafas terakhir pada usia 93 tahun akibat kanser perut.
Sumber: History.com