Siakap Keli
Gambar: Mohd Hanaffi Hamzah

Kos Tak Sampai RM2,000, Ini Kisah Disebalik Viral ‘Sport Rim’ ‘Ysuku’ Dijadikan Bunga Tembok

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Baru-baru ini, tular di media sosial seorang lelaki yang membina tembok rumahnya dengan menggunakan rim asli motosikal Yamaha Y15.

Gambar-gambar itu sangat menarik perhatian warganet, semuanya tidak menyangka bagaimana lelaki ini boleh terfikir untuk menjadikan rim motosikal sebagai ‘penghias’ binaan tembok.

Mungkin sebilangan besar pemilik Y15 berasa ‘kecut’ apabila terkenangkan; ‘punyalah susah nak dapatkan sport rim ni sebab harganya ratus-ratus, abang ni selamba je buat bunga tembok’.

Sebenarnya, ada kisah yang menarik di sebalik tembok pagar berbungakan rim asli Y15 ini. Mari ikuti perkongsian daripada pemilik, Mohd Hanaffi Hamzah di bawah ini.

Gambar: Mohd Hanaffi Hamzah

Budak sekarang lagi suka pakai tayar kecil

Menurut Hanaffi, idea ini terlintas dalam kepala ketika hujung 2018 lalu ekoran beliau sendiri turut memiliki sebuah motosikal Y15 versi pertama sebelum ini.

Katanya, pada zaman 2015 ke 2017 dahulu, masih ramai penunggang Y15 yang menggunakan rim asal model tersebut dan kebanyakannya gemar mewarnakannya dengan pelbagai warna.

Namun ‘selera’ terhadap ‘trend’ rim asli berwarna itu mula berubah apabila penunggang-penunggang Y15 memilih untuk bertukar ke tayar lebih kecil.

“Lepas itu masuk saja 2018 kebanyakan budak-budak zaman sekarang ini dia tukar sport rim ini kepada tayar kecil (atau dipanggil tayar sotong). Jadi bila dia tukar tayar kecil, sport rim asli ini dia simpan.

“Saya pun ada kawan-kawan yang pakai Y15 ini. Saya kata dengan dia, ‘daripada kau simpan baik kau bagi aku. Aku ada nak buat projek kat rumah aku’. Jadi saya pun simpan,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli hari ini.

Begitulah bermulanya idea Hanaffi tercetus untuk mengumpul rim asli Y15 ini.

Gambar: Mohamad Hanaffi Hamzah

Sport rim ini bukan beli, tapi orang sedekah

Mungkin kita anggap, Hanaffi sanggup keluarkan modal yang besar semata-mata mahu mengumpulkan seberapa banyak rim tersebut, namun sebenarnya ia diberikan secara percuma sahaja.

“Ada orang bagi sedekah, yang itu bagi sedekah, yang ini bagi sedekah. Ramailah yang bertanya projek apa sebenarnya yang saya nak buat.

“Mula-mula saya ingatkan nak buat meja. Lepas tu tengok pagar (tembok) tak siap lagi. Kalau jadi ‘bunga’ pagar pun cantik,” katanya.

Sukar untuk dipercayai, tetapi itulah hakikatnya. 35 rim Y15 yang ada di rumahnya ini adalah ‘sedekah’ daripada rakan-rakannya juga. Malah jika ada yang jual pun, Hanaffi sanggup membayarnya semula dengan niat bersedekah kembali.

Tidak kurang juga, ada yang menjual rim kepadanya dengan harga yang cukup-cukup murah.

Gambar: Mohd Hanaffi Hamzah

“Macam hari itu ada kawan saya, dia jual kat saya 11 pasang siap dengan tayar complete, dalam RM300. 11 pasang RM300. Jadi tak sampai RM30 pun setiap pasang.

“Daripada simpan dalam stor, bawah katil, jadi sarang labah-labah, berhabuk, baik bagi saya,” tambahnya lagi.

Setakat ini, kira-kira 35 buah rim asli Y15 sudah berjaya dikumpulkannya. Hanaffi menyasarkan bahawa dia ingin terus mengumpulkannya lagi sehingga cukup 50 buah.

Sebenarnya, Hanaffi tidak berniat untuk menghebahkan binaan tembok rim Y15 terlebih dahulu selagi projek belum siap, namun ianya ‘terlepas’ juga setelah kawannya sendiri yang berkongsi gambar-gambar itu ke media sosial.

Kos semua tak sampai RM2,000

Gambar: Mohd Hanaffi Hamzah

Memandangkan semua ‘bunga pagar’ rim Y15 itu didapati secara percuma, beliau hanya perlu membeli bahan binaan lain seperti simen, pasir dan tiang yang menelan belanja kira-kira kurang RM2,000.

Difahamkan, projek tembok pagar ini baru sahaja bermula sekitar dua minggu lepas. Sebelum ini Hanaffi fokus membina sebuah kolam ikan di luar rumahnya.

Tidak hanya berseorangan, kerja-kerja pertukangan tembok ini turut dibanntu oleh seorang lagi rakannya. Namun walaupun kawan sendiri yang tampil membantu, beliau tetap memberikannya sejumlah bayaran sebagai tanda terima kasih.

Gambar: Mohd Hanaffi Hamzah

Mengimbas kembali, Hanaffi sebenarnya merupakan seorang bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat di bawah Kor Kesihatan Diraja sejak 1996 dahulu.

Sepanjang 21 tahun berkecimpung dalam dunia ketenteraan, telah banyak negeri yang menjadi persinggahannya. Seketika di Kuching, pernah juga di Sabah, boleh dikatakan hampir seluruh Malaysia ini menjadi ‘tanah jajahannya’.

Setelah lama berkhidmat untuk negara, akhirnya Hanaffi isytihar ‘keluar barisan’ dan berpencen secara rasmi pada 2017 lalu. Usai itu, ayah kepada lapan orang anak ini mengisi masa lapangnya di kampung halaman dengan membuat kerja-kerja pertukangan.

Jika anda berminat untuk menatap keunikan tembok berhiaskan bunga pagar rim asli Y15 ini, bolehlah bertandang ke rumahnya yang terletak di Kampung Beris Lampu, Kuala Besut, Terengganu.

Sumber: Mohd Hanaffi Hamzah

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.