Siakap Keli

UDA Menyumbang Kepada Keselesaan Petugas Barisan Hadapan Di Hospital Sungai Buloh

KUALA LUMPUR, 8 Mac 2021 – UDA Holdings Berhad (UDA), sebuah syarikat pemaju hartanah dan pengurusan aset sekali lagi terpanggil dalam menghulurkan bantuan kepada para petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh lanjutan daripada surat terbuka mereka kepada media yang disiarkan baru-baru ini. Surat tersebut menzahirkan kesedihan dan pengalaman mereka yang keletihan serta berada dalam ketidakselesaan demi melawan pandemik yang saban hari meningkat. Antara keluhan yang disuarakan adalah waktu kerja yang panjang tanpa rehat yang selesa dan keperluan makanan berkhasiat pada waktu rehat. 

Prihatin dengan kesedihan yang dilalui oleh petugas barisan hadapan ini, UDA melalui program Tanggungjawab Social Korporat (CSR) iaitu UDA Cares – Project RE (ReAct, ReBuild, ReEnergize) telah menyantuni warga petugas barisan hadapan dan menyumbangkan sebanyak RM70,000 kepada pihak Hospital Sungai Buloh. Sumbangan tersebut bertujuan memberikan sedikit keselesaan kepada petugas barisan hadapan di sana yang bekerja pada waktu yang panjang. Barangan keperluan yang diberikan adalah berbentuk penapis air, ketuhar gelombang mikro, mesin penyaman udara, meja dan kerusi serta sofa untuk berehat. Selain itu, pihak UDA dengan kerjasama anak syarikat, AnCasa Hotel Kuala Lumpur turut menyediakan 50 bungkusan makanan berkhasiat serta mesin kopi untuk petugas barisan hadapan selama 50 hari bersempena ulang tahun Jubli Emas UDA pada tahun ini. 

Pada majlis penyerahan ringkas di Hospital Sungai Buloh hari ini, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Yang Berusaha Sr Mohd. Salem Kailany berkata “Sumbangan ini merupakan usaha kecil dalam memberi keselesaan kepada para petugas yang acap kali meluahkan kesedihan dan cabaran yang dihadapi saban hari. Sempena ulang tahun UDA yang ke 50 ini, kami ingin mengucapkan “Terima Kasih” kepada mereka, kami percaya bahawa dengan bantuan yang berterusan, kita dapat bersama-sama memastikan petugas barisan hadapan kita terus bertenaga, bersemangat dan terus cekal dalam peperangan melawan Covid-19 ini. 

Beliau menambah, “Semoga rakyat Malaysia sedar akan pengorbanan murni yang dilakukan oleh petugas barisan hadapan kita dan sekiranya kita tidak dapat membantu mereka dalam memberi keselesaan, kita masih mampu membantu mereka dengan memutuskan rantaian Covid-19 dan menurunkan jumlah kes aktif dengan #KitaJagaKita dan #DudukDiRumah. 

Sejak awal lagi, UDA telah secara konsisten menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada pihak yang terlibat dan terkesan dengan pandemik ini. Pada fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu, pihak syarikat telah berjaya menyumbang barang keperluan hospital serta bekalan makanan yang berjumlah RM190,000 kepada pihak Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Permai Johor, Hospital Besar Pulau Pinang, Hospital Rembau dan Hospital Kluang.

Ditubuhkan pada 12 November 1971, UDA atau sebelum ini dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Bandar adalah peneraju dalam perancangan pembangunan bandar dari aspek komersial dan perumahan. Kini, UDA beroperasi sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC). Prestasi membanggakan selama 50 tahun ini melambangkan kejayaan UDA dalam mengembangkan landskap bandar di Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Terengganu. Melangkah ke hadapan, UDA akan terus mengukuhkan kedudukannya di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta melakar lebih banyak pencapaian membanggakan dalam usaha membantu lebih ramai rakyat Malaysia khususnya dalam pemilikan harta tanah.

Meraikan ulang tahun yang ke-50, UDA terus komited mencapai kejayaan untuk kekal utuh dalam tempoh 50 tahun akan datang dengan momfokuskan pada prinsip utama perniagaan kami, iaitu memperkasa gaya hidup lestari. 

Nur Farra