Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dilapor meninggal dunia akibat dibaham buaya dalam satu tragedi di Kalimantan Timur, Indonesia baru-baru ini.
Memetik sumber, mangsa dan adik lelakinya pada awalnya sedang berenang di sebatang sungai sambil turut diperhatikan ayah mereka dari rumah yang terletak berhampiran di situ.
Bagaimanapun menurut pihak penyelamat, Oktavianto, segalanya berlaku tidak dijangka apabila muncul seekor buaya di situ lalu menyerang dan membaham salah seorang daripada mereka.
Menyedari anaknya diserang buaya, si ayah dilapor berkejar ke tempat kejadian serta-merta dan didakwa memukul reptilia berkenaan dengan tangan kosoong. Namun semuanya sudah terlambat, buaya itu berjaya melarikan diri.
Pada keesokan harinya, Oktavianto memaklumkan bahawa pihaknya berjaya menangkap seekor buaya berukuran kira-kira enam meter panjang di wilayah Kutai Timur.

Hasil siasatan mendapati, terdapat sekujur tubuh mayat dalam perut haiwan terbabit, dipercayai mangsa kanak-kanak yang dibaham sebelum itu.
“Sungai itu memang tempat habitat buaya.
“Tapi kanak-kanak itu datang ke situ cuma untuk membersihkan diri dan mengambil air untuk memasak sahaja,” kata Oktavianto lagi.
Sumber: 7 News / Daily Star