Seorang suami setia mencari isterinya yang hilang ketika tsunami kira-kira 10 tahun lalu.
Menurut Stuff.co.nz, Yasuo Takamatsu telah terpisah dengan isterinya, Yuko ketika tsunami melanda bandar Onagawa, Miyagi pada tahun 2011.
Lelaki berusia 64 tahun itu kemudiannya mendapatkan lesen menyelam untuk mencari jasad isterinya, tulis portal itu. Dalam tempoh tujuh tahun, beliau telah melakukan 470 selaman yang dilakukan setiap minggu dan angka itu terus meningkat.
“Saya menyelam seperti saya akan menemuinya di mana-mana tempat. Saya selalu berfikir dia mungkin ada berhampiran,” katanya.
Tambah portal itu, selain selaman solo, Takamatsu turut menyertai pencarian bersama pihak berkuasa yang mana mereka berjaya menemui 2,500 jasad di wilayah itu.
Beliau telah menemui album, pakaian dan artifak lain, namun bukan milik isterinya. Kata Takamatsu, dia akan terus menyelam dan mencari isterinya selagi dirinya masih hidup.
“Dalam mesej terakhir dia (isteri) hantar kepada saya, dia berkata, “Kamu ok? Saya ingin pulang ke rumah”.
“Saya yakin dia masih ingin pulang,” kongsi Takamatsu seperti dipetik Stuff.co.nz.
Sumber: Stuff.co.nz