Siakap Keli
Gambar: The Logical Indian

Tahanan Lelaki Ditemui Mati Dalam Lokap

Kuala Lumpur, 10 Mac (Bernama) — Seorang lelaki dalam tahanan polis ditemui mati dengan tergantung di jeriji besi sel lokap, Balai Polis Cheras, di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kejadian disedari petugas lokap semasa proses membawa keluar tahanan di sel lokap bersebelahan untuk proses siasatan kes lain, kira-kira 12.30 tengah hari.

“Lelaki berusia 54 tahun itu berada di sel lokap seorang diri, disebabkan tahanan yang ditempatkan dalam sel yang sama telah dibawa keluar ke Mahkamah Jalan Duta di sini untuk proses pertuduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata lelaki itu sedang menjalani perintah tahanan reman sejak 4 Mac lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memiliki dadah, selain ujian saringan air kencingnya turut didapati positif dadah.

Suspek juga mempunyai empat rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 386 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjatapi 1971.

Berikutan kejadian itu koroner dari Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur  dan pakar patologi dari Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM), telah menjalankan siasatan di lokap itu pada hari yang sama.

Jelasnya Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard turut melakukan siasatan dalaman ke atas petugas lokap yang bertugas pada hari berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right