Siakap Keli
penyanyi

Kes Tular Polis Berpaut Pada Bonet Kereta: Remaja, Kekasih Didakwa

BANGI, 12 Mac – Remaja yang tular di media sosial apabila videonya melarikan diri semasa pemeriksaan polis sehingga seorang anggota polis terpaksa berpaut pada bonet hadapan kereta yang dipandunya sejauh 150 meter, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Muhammad Asraf Zulkefli, 19, mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencederakan dan merosakkan motosikal milik anggota polis itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai Majistret.

Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Asraf didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohamad Amirul Yahya seorang penjawat awam yang menjalankan kewajipan, di tempat letak kenderaan di sebuah restoran makanan segera di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi pada 10.30 malam, 9 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa melakukan khianat iaitu dengan sengaja merosakkan handle bar, ekzos, sport rim dan nombor pendaftaran belakang motosikal Mohamad Amirul sehingga kerugian RM1,060 di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan kedua mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, teman wanita tertuduh, Umiezatul Asyikin Nasrun, 20, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dengan Muhammad Asraf bagi kesalahan sama di tempat dan masa serupa.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 332 dan Seksyen 427 yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzan Mohd Nor menawarkan jaminan RM10,000 terhadap Muhammad Asraf sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat memandangkan tertuduh pesalah muda di bawah 21 tahun.

Jumlah sama turut ditawarkan kepada Umiezatul Asyikin.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu masing-masing diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 12 April untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, tular di media sosial video rakaman orang awam menunjukkan detik cemas apabila seorang anggota polis terpaksa berpaut pada bonet kereta sejauh kira-kira 150 meter setelah pemandu kereta bertindak memecut kenderaan ketika polis ingin melakukan pemeriksaan dalam kejadian di Bandar Baru Bangi.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang