Siakap Keli
Kredit: Google

Mahkamah Pakistan Arah Haramkan TikTok, Dakwa Tak Sesuai Dengan Rakyat Tempatan

Mahkamah Pakistan mengarahkan larangan terhadap penggunaan aplikasi TikTok yang didakwa mengandungi unsur lucah dan tidak sesuai dengan rakyat tempatan.

Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Peshawar, Qaiser Rashid Khan memaklumkan perintah tersebut ketika mendengar petisyen untuk membantah aplikasi tersebut baru-baru ini.

“Sesetengah video yang dimuat naik ke aplikasi itu tidak boleh diterima dalam kalangan masyarakat Pakistan.

“Justeru pengawal selia internet di negara ini perlu menyekat penggunaannya dan menyediakan kandungan yang lebih baik serta boleh diterima pihak mahkamah,” katanya, memetik laporan Aljazeera.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Telekomunikasi Pakistan (PTA) memaklumkan pihaknya akan cuba memenuhi perintah mahkamah tersebut.

Bagaimanapun syarikat pembangun aplikasi berkenaan dilaporkan membantah perintah itu dengan mendakwa aplikasi itu mempunyai garis panduannya untuk memantau setiap kandungan yang disiarkan.

“TikTok dibangunkan sebagai medium warga maya mengekspresi daya kreativiti mereka, ia dibina bersama perlindungan yang kuat bagi menjaga kandungan yang tidak sesuai.

“Di Pakistan, kami telah melantik bahagian operasi tempatan dan memiliki mekanisme untuk melapor serta menghapuskan kandungan yang melanggar budaya.

“Kami berharap agar (TikTok di Pakistan) dapat terus melayani berjuta-juta pengguna yang telah mendapat saluran untuk serlahkan kreativiti dan keseronokan mereka,” maklum syarikat tersebut dalam satu kenyataan.

Mengimbas kembali, PTA telah menguatkuasakan larangan terhadap penggunaan TikTok di negara itu pada Oktober lalu atas sebab yang serupa, salah satunya didakwa gagal menyaring kandungan yang tidak bermoral.

Namun larangan tersebut ditarik semula pada 10 hari selepasnya apabila syarikat pembangun aplikasi itu memberi jaminan kepada kerajaan bahawa mereka akan menyekat semua akaun pengguna yang disyaki terlibat dalam menyebarkan kandungan berunsur maksiat.

Sumber: Aljazeera

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'