Perkahwinan adalah suatu perkara yang serius. Pelbagai dugaan dan rintangan pastinya akan dilalui pasangan-pasangan yang sedang menuju ke mahligai bahagia ini.
Kadang-kala, akibat tidak mampu untuk menempuh dugaan tersebut, ada yang terpaksa membatalkan hasrat mereka untuk mendirikan rumah tangga bersama pasangan di hari-hari terakhir.
Walaupun segala persiapan telah pun siap, namun disebabkan terdapat perkara yang tak dapat dielakkan, hasrat untuk berkahwin itu terpaksa dibatalkan.
Disebabkan segala persiapan telah tersedia dan banyak duit telah dihabiskan, akan ada pihak yang akan mengalami kerugian.
Lantaran pada itu, pasti ramai diantara kita akan tertanya-tanya sekiranya situasi tersebut terjadi, bolehkah kita mengambil tindakan undang-undang untuk menuntut ganti rugi.
Seorang peguam Syarie bernama Fahmi Ramli ada berkongsikan tentang apa yang boleh dituntut dan apa tindakan yang boleh diambil.
Bagi mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti penjelasannya seperti berikut:
Tuntut balik kos gantirugi ‘Persiapan Kahwin’ itu
Saya terbaca satu posting yang dikongsi oleh seorang photographer yang upload gambar pengantin perempuan. Pengantin itu berseorangan sebab pengantin lelaki ‘tak wujud’.
Sebab yang diberitahu, bakal pengantin lelaki tersebut memutuskan pertunangan dan membatalkan perkahwinan disaat akhir kerana memilih untuk kembali bersama bekas kekasih.
Kesian memang kesian. Tapi, tak tahu la berapa kos yang dah bakal pengantin perempuan itu keluarkan.
Mesti dah bayar banyak benda untuk persiapan. Belum kira lagi dengan malu yang dihadapi keluarga perempuan tersebut.
Anda perlu ingat, bila dah bertunang dan menuju kearah perkahwinan, anda sebenarnya telah terikat disisi Undang-undang Keluarga Islam.
Boleh ke tuntut gantirugi di Mahkamah Syariah?
Pertunangan itu boleh terjadi sama ada secara bertulis atau perjanjian mulut untuk melakukan kearah pernikahan pihak-pihak. Ketika bertunang, adalah haram bagi lelaki lain untuk masuk meminang wanita yang telah bertunang.
Setiap Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri seluruh Malaysia ada diperuntukkan tentang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan gantirugi perkahwinan.
Siapa yang perlu tanggung gantirugi?
Dalam undang-undang disebut pihak yang mungkir janji untuk berkahwin itu adalah bertanggungan untuk pulangkan
–pemberian pertunangan (jika ada)
–memulangkan nilainya
–membayar apa-apa wang yang telah dibayar oleh satu pihak dengan suci hati untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu
Maksudnya, orang yang putuskan pertunangan itu perlu tanggung gantirugi dan perlu bayar kos kepada pihak yang diputuskan pertunangan tersebut.
Apa yang boleh dituntut?
–Belanja kenduri kecil-kecilan semasa majlis pertunangan seperti kos penyediaan makanan kepada tetamu, khemah, photographer dan lain-lain.
–Baju pengantin untuk majlis akad nikah dan resepsi perkahwinan. Sama ada telah dibayar secara penuh mahupun separuh.
–Bayaran upah catering
–Kad-kad jemputan kenduri
–Pengubahsuaian rumah/bilik pengantin pihak yang diputuskan pertunangan tersebut. Contohnya kos renovate bilik, bilik air, perabot dan lain-lain.
–Bayaran DJ & Photographer juga jika telah dibuat, boleh diminta gantirugi walaupun ia mungkin bukan keperluan asas perkahwinan.
–lain-lain persiapan yang menggunakan kos hanya untuk perkahwinan
Boleh ke nak tuntut kos maruah/saman malu sebab batalkan perkahwinan last minit?
Jawapannya tidak boleh dibuat di Mahkamah Syariah. Saman malu adalah bidangkuasa Mahkamah Sivil. Jika pihak yang dimungkiri itu rasa malu dan maruah tercalar, anda boleh buat tuntutan kos gantirugi am di Mahkamah Sivil.
Di Mahkamah Syariah hanya berkaitan dengan kos dan gantirugi yang menjurus kepada perbelanjaan persiapan perkahwinan sahaja.
Kesimpulan
Jadi, nasihat saya kepada bakal pengantin yang melalui isu yang sama, anda perlu membuat tuntutan ini di Mahkamah Syariah. Kos yang telah dibelanjakan untuk perkahwinan tersebut bukanlah murah zaman sekarang ini.
Kalau anda tidak bertindak, orang yang memungkiri janji tersebut akan merasakan hal ini adalah perkara kecil. Sedangkan, maruah yang tercalar serta penat lelah keluarga dan diri anda yang mengumpul duit untuk persiapan tersebut bukan satu perkara kecil. Bahkan ia sangat besar.
Semoga penulisan ini dapat membantu mereka yang teraniaya dan tahu tentang hak mereka. Faham ke? Boleh tera tu?
Sumber: Fahmi Ramli