Siakap Keli
Kredit: Google

Polis Tahan Dua Ahli Sindiket Along Tawar Pinjaman Melalui Facebook

BALIK PULAU, 12 Mac (Bernama) — Polis menahan dua lelaki dipercayai ahli sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along menerusi laman sosial Facebook dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kemuning, Kulim di Kedah, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Ibu Pejabat Polis (IPD) Barat Daya Supt A. A Anbalagan berkata dua lelaki berusia 20 dan 24 tahun itu ditahan dalam op vulture oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD berkenaan pada 2.30 petang, 9 Mac lepas.

“Sindiket dipercayai mempunyai rangkaian di negeri wilayah utara dan mampu memberi pinjaman sehingga ratusan ribu ringgit serta beroperasi lebih empat tahun lepas. Sindiket juga menawarkan pinjaman tidak wujud, khususnya kepada peniaga kerana kebanyakannya mengalami masalah kewangan ketika pandemik COVID-19 sekarang ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata serbuan di Kedah itu, ekoran satu laporan polis oleh seorang peniaga dari Bayan Lepas yang mendakwa diugut sindiket tersebut meskipun beliau telah membayar hutang sebanyak RM40,700, berbanding RM30,000 yang dipinjam daripada sindiket berkenaan pada 2019.

“Mangsa meminjam sebanyak RM30,000 selepas melihat iklan di Facebook, namun hanya menerima RM24,900 menerusi pindahan ke akaun bank, kononnya selepas ditolak yuran pemprosesan pinjaman serta sebagainya,” katanya Anbalagan.

Katanya, selepas setahun, peniaga itu telah membayar sebanyak RM31,700 dan pada 3 Nov tahun lepas dia tidak dapat membuat bayaran bulanan mengikut tarikh diberikan disebabkan kadar faedah yang tinggi sebelum menghubungi ahli sindiket tersebut untuk berbincang sebelum sindiket bersetuju memberikan ‘diskaun’ selepas mangsa bersetuju membayar tambahan RM9,000 untuk melunaskan pinjamannya.

Bagaimanapun, sindiket itu masih menghubungi peniaga tersebut malah mengugut akan terus menganggu mangsa serta keluarganya, sekiranya gagal membuat pinjaman dan faedah yang keseluruhanya didakwa berjumlah sebanyak RM74,000.

Anbalagan berkata hasil serbuan itu, polis turut merampas tiga telefon bimbit, 20 keping salinan kad pengenalan dipercayai peminjam, dokumen syarikat, surat pinjaman wang, kad debit bank, cek dan dokumen bank serta sejumlah gambar peminjam.

“Berdasarkan siasatan, sindiket itu akan menularkan gambar peminjam yang gagal membayar pinjaman di media sosial selain mengedarkan gambar atau poster di tempat tinggal mereka bagi tujuan untuk mengaibkan mangsa,” katanya menambah terdapat lebih 20 individu yang didapati meminjam dengan sindiket tersebut dan siasatan masih dijalankan.

Menurutnya, seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan kedua-dua mereka kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.