KUCHING, 13 Mac – Dua kematian direkodkan akibat jangkitan penyakit rabies dalam kalangan manusia di Sarawak, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata kes pertama melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 52 tahun yang menafikan beliau mempunyai sejarah digigit atau dicakar oleh anjing atau haiwan mamalia lain.
“Namun, beliau pernah menangkap dan membunuh seekor anjing peliharaan, bagaimanapun, bangkai anjing tersebut tidak diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak untuk siasatan lanjut.
“Pada 31 Jan 2021, beliau telah mendapatkan rawatan dan dimasukkan ke wad di Hospital Sibu kerana mengalami gejala sakit dada, kebas di bahagian tangan kanan, muntah dan sesak nafas. Keadaan kesihatan beliau merosot dan telah meninggal dunia pada 8 Feb 2021 dengan punca kematian adalah disebabkan oleh jangkitan rabies,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, bagi kes kematian kedua, melibatkan seorang warganegara Malaysia berumur 54 tahun yang telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan gejala lemah di bahagian kaki, sakit di seluruh badan, demam, mual dan tiada selera makan pada 5 Mac 2021.
“Beliau pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada 26 Dis 2020 di bahagian dada kanan semasa mengendalikan anjing tersebut. Pada hari yang sama, anjing ini telah diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk dihapuskan tetapi tiada sampel untuk ujian rabies yang diambil. Mangsa juga tidak pernah mendapatkan rawatan selepas digigit oleh anjing peliharaannya.
“Keputusan ujian Rabies PCR ke atas sampel air liur (saliva) beliau yang telah dijalankan di Universiti Malaysia Sarawak pada 7 Mac 2021 adalah positif dan telah disahkan meninggal dunia di HUS pada 7 Mac 2021 dengan punca kematian adalah disebabkan oleh jangkitan rabies,” kata Dr Noor Hisham.
Pertambahan dua kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai 2017 adalah 33 kes dengan 31 kematian manakala hanya dua kes yang masih hidup dan kedua-duanya adalah kanak-kanak dengan sejarah mendapatkan rawatan awal.
— BERNAMA