Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Tebing Runtuh Di Pasir Mas: Kerajaan Lulus Peruntukan RM60 Juta & Dijangka Dijadikan Taman Rekreasi

PASIR MAS, 15 Mac (Bernama) — Kerajaan telah meluluskan sejumlah RM60 juta peruntukan khas bagi projek membaik pulih kawasan yang terjejas akibat runtuhan tebing sungai dekat Dataran Air Muleh, Kampung Pohon Celagi, di sini.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata susulan itu, kerajaan pusat dan negeri akan memastikan projek berkenaan dilaksanakan secepat mungkin supaya dapat menyiapkannya sebelum menjelang Monsun Timur Laut pada akhir tahun ini.

“Kita sasar projek ini boleh siap pada Oktober atau November…sebab sekiranya hujung tahun musim monsun datang, kita khuatir apa yang dibina hilang sehingga menyebabkan kerugian lebih besar.

“Kabinet mengambil serius berhubung perkara ini malah bersetuju projek ini perlu disegerakan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di lokasi kejadian tebing runtuh itu di sini, hari ini.

Gambar: BERNAMA

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata peruntukan bagi projek tersebut melibatkan kerja-kerja pengambilan balik tanah, pembinaan struktur penahan tebing, pembaikan cerun, pengorekan sungai, pembinaan rumah pam dan struktur river-training.

“Kita lihat kawasan ini tidak selamat lagi untuk penduduk tinggal maka kita jangka tempat ini akan dijadikan kawasan rekreasi…insya-Allah satu denai sungai turut dicadang untuk dibangunkan supaya boleh mewujudkan tarikan baharu dan mengindahkan lagi Pasir Mas sebagai destinasi pelancong,” katanya sambil menambah bahawa projek itu akan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Ditanya sama ada kerajaan bercadang memberi pampasan kepada penduduk yang terjejas, Tuan Ibrahim berkata kerajaan Persekutuan akan berbincang dengan kerajaan negeri berhubung perkara tersebut.

“Dalam kos yang dicadangkan ini, ia membabitkan pengambilan tanah dan saya fikir ini turut melibatkan beberapa ganti rugi. Cuma pampasan terus kepada rumah-rumah itu, kita akan berhubung dengan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana menanggung semua kos sewa rumah penduduk yang terpaksa berpindah ke kawasan lebih selamat.

Untuk rekod, setakat ini, sebanyak lapan rumah dan sebuah premis perniagaan telah musnah sejak berlakunya kejadian runtuhan tebing sungai itu pada 17 Feb lepas, yang membabitkan seramai 97 penduduk di kawasan tersebut.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.