Siakap Keli
Gambar: Bernama

De Paula, Ramadhan Antara Dipanggil Ke Latihan Pusat

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) — Pemain naturalisasi baharu negara, Guilherme de Paula antara muka baharu dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selama sembilan hari, bermula Isnin depan di Johor Bahru.

Selain pemain Perak FC itu, Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk), Ramadhan Saifullah Usman (Johor Darul Ta’zim FC), penjaga gol Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC) juga merupakan antara muka baharu dalam senarai 28 pemain.

Bagaimanapun, dua pemain yang berkelana di luar negara, Liridon Krasniqi dan Junior Eldstal tidak dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe ke kem latihan pusat skuad berkenaan.

Cheng Hoe berkata pemain naturalisasi kedua negara, Liridon yang beraksi bersama Newcastle Jets di Liga Australia (Liga-A) dan Junior yang beraksi bersama Chonburi FC di Liga 1 Thailand, tidak dipanggil kerana kesukaran tempoh kuarantin untuk masuk ke Malaysia dan kembali ke negara berkenaan.

“Lagipun saya melihat kedua-dua pemain ini sedang meningkatkan persembahan dan prestasi masing-masing bersama kelab baharu ini. Jadi saya kira lebih baik mereka menyertai latihan pada Mei nanti dengan prestasi yang lebih baik selepas mendapat aksi minit permainan di Liga Australia dan Liga Thailand,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Safawi Rasid pula tidak disenaraikan kerana mengalami kecederaan pada aksi Liga Super di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan UiTM FC, Sabtu lalu.

Kem itu adalah sebagai persiapan menjelang baki tiga perlawanan terakhir Kumpulan G bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan diadakan secara berpusat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun.

Cheng Hoe juga mengekalkan seramai 17 pemain dari skuad 23 pemain ketika dua aksi terakhir kelayakan sebelum ini, iaitu bertemu Thailand dan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 14 dan 19 Nov 2019.

Sebanyak enam pemain, Samuel Somerville (Penang FC), Rodney Celvin Akwensivie (Kedah Darul Aman FC), Arif Fadzilah Abu Bakar (Terengganu FC), Shahrul Nizam Ros Hasni (Terengganu FC), S. Kumaahran (Melaka United FC) dan Darren Lok (PJ City FC) diletakkan dalam senarai simpanan.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata Johor Bahru dipilih sebagai lokasi latihan pusat kali ini kerana kemudahan lengkap yang dimiliki JDT adalah bertaraf dunia dan yang terbaik untuk bola sepak di negara ini.

“Fasiliti JDT merupakan sebuah pusat latihan berprestasi tinggi dan sudah tentu saya mengharapkan sesuatu yang terbaik dapat dihasilkan oleh skuad kebangsaan kerana persiapan bagi tiga perlawanan terakhir ini cukup penting.

“Pusat Latihan JDT ini juga memiliki pusat kecergasan dan perubatan mereka sendiri, selain dapat memenuhi keperluan untuk latihan diadakan dalam pelbagai jenis permukaan padang dan ia terletak berdekatan dengan hotel penginapan pasukan.

“Dengan mengambil kira pandemik COVID-19 yang telah  menjejas persiapan kami sejak lebih setahun lalu, skuad Harimau Malaya sudah tentu memerlukan setiap kelebihan yang ada dalam persiapan yang cukup singkat ini dan semuanya dapat kami lakukan di pusat latihan serba lengkap ini,” jelasnya.

Beliau berkata tempoh sembilan hari itu cukup penting untuk meningkatkan semula persefahaman para pemainnya sama ada di dalam dan juga di luar padang kerana tidak banyak masa apabila berkumpul pada Mei nanti.

“Jadi kesempatan yang ada ini akan saya gunakan sepenuhnya untuk memberitahu pemain tentang perancangan kita pada Mei nanti supaya semua sudah bersedia dan benar-benar fokus untuk aksi bertemu UAE (3 Jun), Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) itu,” tambahnya.

Senarai 28 pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat:

 

BIL

 NAMA

UMUR

PASUKAN

1.

 MOHD FARIZAL MARLIAS

35

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

2.

 MATTHEW DAVIES

26

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

3.

 MOHAMAD AIDIL ZAFUAN ABD RADZAK

34

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

4.

 ADAM NOR AZLIN

25

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

5.

 LA’VERE CORBIN-ONG

30

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

6.

 MUHAMMAD RAMADHAN SAIFULLAH USMAN

21

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

7.

 MOHAMED SYAMER KUTTY ABBA

24

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

8.

 MOHD AFIQ FAZAIL

27

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

9.

 MUHAMMAD DANIAL AMIER NORHISHAM

24

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

10.

 MUHAMMAD NAZMI FAIZ MANSOR

27

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

11.

 MUHAMMAD AKHYAR ABDUL RASHID

22

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

12.

 MOHAMADOU SUMAREH

27

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

13.

 MUHAMMAD SYAFIQ AHMAD

26

JOHOR DARUL TA’ZIM FC

14.

 MOHD KHAIRULAZHAN MOHD KHALID

32

SELANGOR FC

15.

 MUHAMMAD SYAHMI SAFARI

23

SELANGOR FC

16.

 BRENDAN GAN

33

SELANGOR FC

17.

 MUHAMMAD SHAHREL FIKRI MD FAUZI

27

SELANGOR FC

18.

 MUHAMMAD RAHADIAZLI RAHALIM

20

TERENGGANU FC

19.

 MOHAMAD FAISAL ABDUL HALIM

23

TERENGGANU FC

20.

 SHAHRUL MOHD SAAD

28

PERAK FC

21.

 GUILHERME DE PAULA LUCRECIO

35

PERAK FC

22.

 MUHAMMAD FAZLY MAZLAN

28

SRI PAHANG FC

23.

 MUHAMAD NOR AZAM ABDUL AZIH

26

SRI PAHANG FC

24.

 KHAIRUL FAHMI CHE MAT

32

MELAKA UNITED FC

25.

 MOHD RIZAL MOHD GHAZALI

29

KEDAH DARUL AMAN FC

26.

 MUHAMMAD IRFAN ZAKARIA

26

KUALA LUMPUR CITY FC

27.

 LUQMAN HAKIM SHAMSUDIN

19

KV KORTRIJK (BELGIUM)

28.

 NORSHAHRUL IDLAN TALAHA

35

SARAWAK UNITED FC

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right